Sabtu, 27 Disember 2008

Umno menyusun langkah menjelang 2009

BERNAMA


WALAUPUN selepas 62 tahun penubuhannya, Umno masih tidak sunyi daripada dugaan yang mencabar kewibawaannya memimpin masyarakat majmuk Malaysia yang semakin terbuka dan terdedah kepada pelbagai perubahan global.

Tahun 2008 meletakkan beban lebih berat di bahu Umno dalam mengembalikan kepercayaan rakyat sebagai parti tonggak Barisan Nasional untuk terus berlaku adil dan membela nasib rakyat seperti ikrar slogannya "Dulu, kini dan selamanya".

Peritnya menjadi pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, begitu juga Wilayah Persekutuan selain Kelantan, setidaktidaknya menjadi pengalaman berguna kepada parti terbesar Melayu dengan tiga juta anggotanya untuk terus unggul dan gah di arena politik negara.

Politik wang yang menular sejak sekian lama perlu segera dibanteras dengan penuh komitmen dan pengorbanan walaupun hakikatnya nanti begitu pahit untuk ditelan.

Gejala ini dikhuatiri akan menyebabkan Umno semakin terpinggir, lantas timbul cadangan agar penyandang jawatan tertinggi parti dipilih oleh semua ahli Umno melalui sistem pengundian ala pilihan raya umum.

Ini kerana politik wang berleluasa dan sukar dikekang setiap kali berlaku pemilihan jawatan dalam parti.

Keputusan pilihan raya umum ke12 pada 8 Mac lepas menimbulkan kegelisahan anggota Umno yang menuntut supaya parti itu segera diberi nafas baru supaya pengaruhnya bukan sekadar dalam kalangan orang Melayu malah masyarakat umum, tidak terus terhakis.

Maka timbul desakan dari dalam parti yang mahukan perubahan segera dilakukan. Setiausaha agung Umno Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad meletak jawatan 11 hari selepas pilihan raya umum yang lepas dengan alasan sukar untuk bekerja setelah tidak dilantik dalam barisan kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah sendiri turut didesak supaya berundur, terutama oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta anaknya Mukhriz, yang turut memegang jawatan anggota exco Pemuda Umno.

Umno yang menangguhkan pemilihan parti untuk memberi fokus kepada pilihan raya umum ke12, mengumumkan pada 27 Mac bahawa pemilihan parti akan diadakan semasa perhimpunan agung tahunan pada Disember 2008.

Abdullah juga pada masa itu mengumumkan akan mempertahankan kerusi presiden Umno pada pemilihan berkenaan.

Tokoh veteran yang juga anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah seterusnya menawar diri untuk bertanding jawatan presiden atas alasan mahu memperbaiki parti.

Mukhriz dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Khir Toyo pula menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno yang kemudian disertai Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.

Pelbagai pihak juga mendesak supaya sistem kuota pencalonan bagi layak bertanding jawatan tertinggi parti dihapuskan adengan alasan ia menyekat peluang anggota yang berhasrat untuk bertanding.

Pada 19 Mei di Alor Star, Dr. Mahathir membuat kejutan dengan mengumumkan keluar dari Umno dan hanya akan kembali jika Abdullah tidak lagi presiden parti.

Umno bagaimanapun menerima suntikan baru apabila bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor menyertai semula Umno selepas dua tahun meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Angkatan Muda.

Tan Sri Isa Samad pula bebas daripada penggantungan selama tiga tahun dari aktif dalam parti pada Jun, dan beberapa bulan kemudian membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden sebagai "menyambung khidmatnya" yang terhenti pada 2005.

Pada Julai, Abdullah mengumumkan peralihan kuasa untuk menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.

Dua bulan kemudian, Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menunda tarikh Perhimpunan Agung parti itu ke Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Pada 8 Oktober, Abdullah mengumumkan tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan kali ini, dan sehari selepasnya, Najib pula mengumumkan bertanding jawatan tertinggi parti itu.

Selepas hampir semua bahagian Umno mengadakan persidangan pada bulan Oktober, Najib menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dengan mendapat pencalonan daripada hampir semua bahagian yang bermesyuarat kecuali Gua Musang, satusatunya yang mencalonkan Tengku Razaleigh.

Muhyiddin, yang sebelumnya menyatakan hasrat bertanding jawatan naib presiden, menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden, diikuti seorang lagi naib presiden Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Sekali gus fokus pemilihan parti Mac 2009 adalah kepada pertandingan jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan naib presiden menyaksikan pertandingan lapan penjuru antara Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar; bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad; bekas Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Ketika spekulasi berhubung pemilihan mulai reda, pergerakan Wanita Umno pula menarik perhatian umum.

Pelan peralihan kuasa, yang dipersetujui mulanya daripada ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz kepada naib ketua Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Julai 2009, tidak diteruskan apabila Shahrizat membuat keputusan untuk mencabar Rafidah setelah beliau juga mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan ketua.

Perkembangan itu menyebabkan anggota exco Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan naib ketua.Pada 2 Dis, Umno memecat Datuk Zaid Ibrahim kerana tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri beberapa program anjuran pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.