Isnin, 1 Disember 2008

Salah ahli PKR, reformis minta jasa dibalas

Abdul Rahim Sabri


Salah bagi anggota-anggota PKR dan aktivis Gerakan Reformasi, yang menggelar diri mereka "reformis", meminta jasa mereka dibalas dengan alasan pernah berjuang sejak awal perjuangan parti itu 10 tahun lalu, kata timbalan presidennya Dr Syed Husin Ali.

"Kami sudah berjuang selama sepuluh tahun, mana balasannya, mana anugerahnya.

"Ini sikap yang salah," katanya sewaktu menggulung perbahasan di penghujung kongres nasional parti itu di Shah Alam petang tadi.

Menurutnya, rakyatlah yang harus dihargai kerana membantu menaikkan pemimpin-pemimpin PKR dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum lalu.

"Kita mestilah mengiktiraf, rakyat ramailah yang banyak berjuang. Balas budi kepada rakyat ramai.

"Jadi keutamaan balas budi kita ialah kepada rakyat ramai. Inilah namanya perjuangan," kata Dr Syed Husin.

Bekas ahli akademik itu, yang berdekad-dekad dalam aktivisme politik khususnya bersama Parti Rakyat Malaysia (PRM), mengkritik mereka yang menuntut budi dibalas jasa dengan menyifatkan mereka sebagai mengutamakan kepentingan diri dan tidak layak dipanggil pejuang rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan sumbangan besar ahli PKR dan reformis sejak 1998 dan menjelaskan barisan pemimpin PKR akan memberi perhatian terhadapa nasib mereka.

"Saya yakin mereka akan menjalankan perkara yang sewajarnya dengan adil," tambahnya.

Semalam perwakilan Johor menegur PKR kerana tidak mengambil berat dan tidak membela nasib aktivis Gerakan Reformasi.

Suaranya itu mewakili sentimen popular dalam kalangan para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya mereka yang terlibat secara aktif menuntut pembebasannya sewaktu dipenjarakan antara 1998 hingga 2004.

Mengulas "projek 16 September" untuk menukar kerajaan persekutuan, Dr Syed Husin berkata beliau cukup yakin dengan Anwar yang dikenali sejak di Universiti Malaya dan bersama-sama berada di kem tahanan Kamunting, Taiping pada awal 1970-an.

"Kita bukan cakap kosong," tambah ahli sosiologi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.