Jumaat, 19 Disember 2008

Polemik Sime Darby ambil alih IJN

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu jaminan daripada Sime Darby Bhd, yang berminat membeli kepentingan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, supaya meneruskan khidmat pusat perubatan jantung terkenal itu kepada golongan berpendapatan rendah.

"Sekiranya jaminan itu dapat diberikan oleh pihak yang nak mengambil alih, maka mungkin pandangan kita terhadap pengambilalihan ini tidak begitu keras sangat.

"Ini juga bergantung kepada banyak syaratsyarat lain," kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Jelas beliau, terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju terhadap cadangan Sime Darby untuk membeli kepentingan dalam IJN, yang dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan.

"Andaian mereka sekiranya pusat itu dijadikan milik swasta, bayaran perubatan akan menjadi lebih tinggi dan tidak akan dapat dinikmati oleh golongan tersebut," katanya.

Sime Darby dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memperoleh pegangan dalam syarikat yang mengendalikan Institut Jantung Negara itu yang kini merupakan pusat perubatan jantung utama di rantau ini.

KOMEN MENTERI KEWANGAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, kerajaan tidak menghalang hasrat Sime Darby Bhd untuk menguasai pegangan dalam IJN tetapi konglomerat itu perlu memberi jaminan akan mengutamakan golongan miskin.

"Kita kini dalam proses memuktamadkan perkara ini bersamasama Kementerian Kesihatan walaupun pada dasarnya kita tidak membantah cadangan itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai AIDS di Parlimen di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Sime Darby perlu menyatakan komitmennya bahawa perhatian kepada golongan miskin tidak akan dikurangkan sekiranya IJN akan berpindah kepada Sime Darby.

"Apa sahaja kedudukan IJN, program sosial perlu diberikan keutamaan," kata beliau semasa mengulas isu berkenaan.

KOMEN MENTERI KESIHATAN

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata, modus operandi dan objektif IJN akan kekal sebagai pusat jantung yang berkhidmat untuk rakyat walaupun ia diambilalih pada masa akan datang.

Katanya, hasrat Sime Darby untuk menguasai pegangan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, yang mengendalikan IJN, masih pada peringkat perbincangan.

"Modus operandi yang sedia ada tetap akan dikekalkan jika hasrat syarikat korporat itu (Sime Darby) untuk menguasai pegangan dalam IJN tercapai," katanya kepada pemberita selepas melawat dua pesakit yang menghidap "Dilated Cardiomyopathy" di IJN di sini hari ini.

Liow berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada 80 peratus pesakit kerajaan yang dirawat di IJN walaupun organisasi lain mengambil alih IJN.

"IJN mempunyai 80 peratus pesakit daripada kerajaan termasuk pesakitpesakit miskin, mereka dihantar oleh kerajaan dan kos rawatannya ditanggung oleh kerajaan.

"Oleh itu IJN tidak boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan jika diambi lalih organisasi lain," katanya.

Liow berkata, Sime Darby harus mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial jika ingin mengambil alih IJN.

"Sime Darby atau siapapun yang ingin mengambil alih IJN perlu mempunyai komitmen yang penuh terhadap tanggungjawab sosial dan perlu meneruskan komitmen itu serta menjaga kesejahteraan orang ramai yang memerlukan bantuannya," katanya.

Beliau berkata, cadangan yang dihantar Sime Darby masih dikaji pada peringkat Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi.

KOMEN MCA

MCA berharap agar IJN tidak diswastakan kerana ia selama ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan imej kerajaan dan membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, institusi kerajaan itu banyak mengharumkan nama kerajaan.

"Kita berharap IJN tidak diswastakan. Ini bukan soal wang dan ringgit. Ini soal tanggungjawab kerajaan untuk memastikan dapat memberikan perkhidmatan dengan bayaran yang mampu dibayar oleh rakyat.

"Dalam konteks ini IJN sudah mencapai kejayaan cemerlang dan sedikit sebanyak meningkatkan imej kerajaan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab di mana duit tidak boleh membelinya (imej itu)," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, banyak projek yang diswastakan di negara ini mengakibatkan bayaran yang meningkat dan beliau tidak melihat manamana projek yang diswastakan bayarannya menurun.

Dr. Chua berkata, aspek kedua yang penting ialah sama ada penswastaan boleh menjamin kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan.

"Sudah tentu apabila bayaran meningkat ia akan membebankan rakyat (berpendapatan rendah)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.