BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dengan kekuatan pembangkang yang bertambah ke satu tahap tertinggi dalam sejarah Dewan Rakyat, tiga sesi persidangan dalam Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-12 tahun ini telah dipanaskan dengan perang mulut antara penyokong kerajaan dan pembangkang yang dapat ditonton pula oleh rakyat menerusi siaran langsung di televisyen.
Kehangatan Dewan Rakyat itu biasanya dicetuskan oleh beberapa anggota Parlimen 'otai' (orang lama) termasuk Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading).
Namun, terdapat muka-muka baru yang semakin 'menyengat' seperti Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun), Azmin Ali (PKR-Gombak), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) yang menambah keriuhan dalam gelanggang.
Sebagaimana dahsyatnya tsunami politik yang melanda pada pilihan raya umum Mac lepas, begitulah juga hebatnya "gegaran" di Dewan Rakyat kali ini.
Ekoran pilihan raya itu, komposisi Parlimen mengalami perubahan ketara apabila BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga.
Daripada 222 kerusi, 140 diwakili BN dan 82 diwakili pembangkang.
Kisah pertikaman lidah antara Karpal Singh dan Datuk Bung Moktar Radin yang memanggil satu sama lain dengan gelaran 'bigfoot' dan 'big monkey', membuatkan sidang pertama Dewan Rakyat menjadi hangat, bukan sahaja kerana diibaratkan seperti sarkas tetapi turut mencipta sejarah apabila hanya tiga soalan sempat dijawab pada sesi soal jawab lisan.
Karpal: "Saya harap bigfoot dari Kinabatangan tidak akan mengganggu saya...Bigfoot sit down".
Bung Moktar: "Berdirilah kalau berani. If I am 'bigfoot', you are 'big monkey'."
Ia berlaku apabila Karpal berterusan mempertikaikan sesi angkat sumpah anggota Dewan Rakyat sebelum itu yang didakwanya tidak mengikut peraturan.
Perbalahan itu tidak berakhir di situ apabila Karpal memilih pula Datuk Ibrahim Ali sebagai 'mangsa' apabila menggelarkan anggota Parlimen Pasir Mas itu 'katak politik' kerana walaupun bertanding atas tiket PAS, tetapi diberi kerusi Bebas dalam Dewan.
Hari pertama persidangan Dewan itu turut mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya persidangan Dewan Rakyat diberi liputan siaran langsung televisyen menerusi saluran RTM 1 selama 30 minit.
Dengan itu, sesi "ejek-mengejek" antara Yang Berhormat itu telah disaksikan ribuan rakyat yang melihat sendiri perjalanan sidang Dewan Rakyat.
Ekoran itu banyak pihak mahu kerajaan menilai semula rasional mengadakan siaran langsung itu, yang tujuan asalnya adalah untuk membuktikan sifat keterbukaan kerajaan dan ketelusan media, sehingga ada cadangan supaya siaran itu dibatalkan sahaja.
Bagaimanapun, setelah menimbangnya, kabinet memutuskan agar siaran langsung itu diteruskan manakala Anggota Parlimen diminta supaya menjaga perlakuan dan tutur kata semasa bersidang.
Selain gelagat anggota Dewan, karektor Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dua timbalannya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, turut menambahkan warna kepada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Ketegasan Pandikar Amin ketika mempengerusikan persidangan misalnya, beberapa kali telah menimbulkan rasa tidak puas hati hati segelintir anggota Parlimen yang menyifatkan beliau seperti 'cikgu besar' yang mengawal budak sekolah.
Malah ketegasan beliau itu juga telah mengakibatkan beberapa anggota Parlimen diperintah keluar Dewan seperti Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan Chong Chieng Jan (DAP-Bandar Kuching) dan ada yang digantung selama dua hari seperti Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) kerana mempersoalkan keputusan Speaker.
Isu lompat parti dan dakwaan kononnya pembangkang akan membentuk keranaan kerajaan baru pada 16 Sept seperti yang dilaungkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menimbulkan tumpuan luar biasa di Parlimen.
Anwar mendakwa sekurang-kurangnya 13 anggota Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak sedia untuk melompat parti bagi membolehkan Pakatan Rakyat mendapat majoriti di Dewan Rakyat.
Timbul juga ura-ura ada Anggota Parlimen yang mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana kegagalan beliau sebagai pemimpin.
Ekoran itu banyak pihak yang mencadangkan supaya undang-undang antilompat parti digubal bagi menghalang anggota parlimen yang dipilih melompat parti.
Bagaimanapun setakat ini belum ada anggota Parlimen BN yang beralih arah kepada pembangkang kecuali dua anggota BN dari Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) yang kini bergelar anggota parlimen Bebas setelah SAPP keluar daripada BN.
Satu lagi perkara yang mencatat sorotan di Parlimen tahun ini ialah apabila berlakunya situasi tegang antara media dan pihak keselamatan Parlimen ekoran pemasangan tali rintang di sekitar lobi Parlimen bertujuan menghalang mereka membuat liputan di kawasan berkenaan.
Keadaan itu mendorong media memboikot dan tidak melaporkan persidangan Dewan Rakyat sehinggalah beberapa anggota Kelab Penyokong Kerajaan BN bertindak mencabut tali rintang berkenaan bagi memulihkan keadaan.
Apapun, tidak keterlaluan jika dikatakan menonton persidangan Dewan Rakyat tahun ini seperti sebuah rancangan realiti televisyen. Setiap hari penonton akan ternanti-nanti apa yang akan berlaku dan siapa yang akan diarah keluar Dewan atau digantung daripada menghadiri persidangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.