Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB
PUTRAJAYA: Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof memulakan khidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru pagi ini dengan janji akan memperkemaskan dan memperbaiki aspek-aspek yang difikirkan memerlukan tindakan konstruktif.
"Di mana yang boleh kita perbaiki. Kita akan lihat satu demi satu dan kita akan perkemaskan," kata beliau kepada wartawan selepas melangkah ke Ibu Pejabat SPR di sini pukul 9.55 pagi tadi.
Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negerimenggantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang bersara semalam.
Berhubung perubahan yang akan dibawa beliau kepada SPR, Abdul Aziz berkata, hal itu bergantung kepada isu dan masalah yang sedang dihadapi suruhanjaya itu.
"Dalam masa dua tiga hari ini, saya akan diberi taklimat oleh para pegawai tentang fungsi dan peranan SPR.
"Jika ada isu dan masalah yang berbangkit, dari situ kita akan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya," katanya.
Berhubung kenyataan Abdul Rashid semalam supaya SPR diberikan kuasa autonomi supaya dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan, Abdul Aziz berkata, hal itu akan dikaji dengan teliti selepas ini.
"Kita akan lihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya. SPR kini mempunyai koordinasi dengan pelbagai badan berkaitan termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi kawalam keselamatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk daftar pemilih dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk mencetak dokumen," katanya.
Ditanya sama ada pengalamannya dalam Kementerian Dalam Negeri sebelum ini akan membantu tugasnya di SPR memandangkan semua agensi berkaitan berada di bawah kementerian tersebut, Abdul Aziz berkata, setakat ini, kerjasama rapat sedang dijalankan dengan PDRM bagi memastikan kawalan keselamatan terutamanya semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari ini berjalan lancar.
Abdul Aziz berkata, beliau akan ke Kuala Terengganu untuk melihat sendiri suasana dan perjalanan pilihan raya pertama bagi dirinya sebagai Pengerusi SPR.
Ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa daftar pemilih bagi Kuala Terengganu tidak bersih, Abdul Aziz berkata, hal itu tidak benar kerana daftar itu telah dikaji dan disahkan pada 5 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.