Saidah Hairan
KUALA LUMPUR - Pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim daripada Umno yang berkuatkuasa serta merta tidak memeranjatkan sebaliknya memang sudah dijangkakan.
Demikian pandangan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang telah menjangkakan pemecatan terhadap Zaid daripada menjadi ahli Umno.
Ini dapat dilihat katanya daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga beliau sanggup meletakkan jawatan jika ISA diteruskan.
Beliau berkata, penentangan Zaid terhadap ISA itu telah memberi tamparan hebat terhadap pimpinan Umno.
Sehingga semalam katanya, pimpinan Umno terutama Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak masih mempertahankan ISA kerana ia kononnya menjaga keselamatan negara daripada pengganas.
Menurut beliau, kehadiran Zaid di Kongres Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini mempercepatkan proses pemecatannya.
"Pihak Umno memang menunggu saat untuk memecat Zaid, manakala Zaid pula mungkin sudah bersedia untuk dipecat," katanya.
Sehubungan itu, Nuridah mengajak Zaid menyertai PAS kerana PAS tidak pernah berganjak menentang ISA dan akan terus menentang sehingga hukuman rimba itu dimansuhkan. - mns _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.