Selasa, 16 Disember 2008

Pakar akui kerajaan memang tak serius patuhi garis panduan

Wan Nordin Wan Yaacob


Pakar alam sekitar dari sebuah Universiti Awam memberi pengertian 'tanah runtuh' sebagai tragedi yang berkaitan dengan kegelongsoran tanah dan boleh menyebabkan kematian.

Beliau yang enggan namanya dikenali menyatakan, tanah runtuh merupakan kejadian geologi yang termasuk sebahagian besar pergerakan tanah, seperti batu jatuh, kegagalan dalam cerun, dan aliran sampah cetek.

Walaupun graviti bertindak pada cerun curam merupakan punca utama tanah runtuh, terdapat faktor tambahan lain yang menyebabkan tanah runtuh, katanya.

Antaranya hakisan oleh sungai, glasier, atau ombak laut yang menghasilkan cerun curam, cerun batu atau tanah yang lemah akibat tepu oleh cairan salji atau hujan lebat.

Cerun lemah

Selain itu gempa bumi yang menghasilkan ketegangan juga boleh menyebabkan cerun lemah runtuh, letusan gunung berapi menghasilkan mendakan abu, hujan lebat, dan aliran sampah, katanya.

Aktiviti manusia seperti penggunaan mesin atau jentera yang mempunyai gegaran, kesan aliran trafik, bahan letupan, malah guruh mungkin mencetuskan keruntuhan cerun lemah, katanya.

Beliau melihat dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku 6 Disember lalu antara lain disebabkan beberapa faktor yang disebutkan tadi.

Beberapa hari sebelum kejadian, hujan yang lebat melanda Lembah Kelang yang menyebabkan beberapa rekahan mula terbentuk di beberapa cerum atau kawasan berbukit.

Namun ujarnya, kejadian di Bukit Antarabangsa juga tidak terlepas daripada kecuaian manusia dalam membangunkan kawasan berrisiko tinggi.

Walaupun sebelum ini selepas beberapa kejadian tanah runtuh kerajaan melarang pembinaan di kawasan berkecerunan atas 25 darjah, namun hal ini masih dilanggari.

Siasatan demi siasatan telah dijalankan bersama-sama kajian ilmiah dan profesional dihasilkan bagi mengenalpasti punca kejadian tetapi saranan dan cadangan yang dimaju seolah-olah diketepikan, katanya.

Setuju dengan Azmin

Beliau sependapat dengan Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali berhubung ketidakseriusan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam memastikan garis panduan yang telahpun diwartakan itu tidak dipatuhi.

Beliau melihat pembangunan dikeliling kawasan runtuhan sedikit sebanyak menyumbang kepada kejadian tersebut.

Katanya lagi, ia ditambah dengan berat melampau yang terhasil dari pengumpulan hujan dan struktur binaan manusia yang memberi tekanan kepada cerun lemah hingga runtuh dan struktur lain tekanan air bawah tanah bertindak menjadikan cerun tidak stabil.

Aktiviti penebangan tumbuhan hijau berakar dalam yang mengikat 'colluvium' kepada batu asas juga menyebabkan tanah mula tidak stabil, katanya.

Dalam kes ini bahan di cerun yang menjadi tepu dengan air boleh membentuk aliran sampah atau aliran lumpur yang seterusnya campuran pekat batu dan lumpur menghanyutkan pokok, rumah, dan kereta, katanya.

Khir Toyo perlu ambil tanggungjawab

Bagi Ahli Parlimen DAP Kapar, Charles Santiago pihak pentadbiran kerajaan di bawah bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo perlu mengambil seluruh tanggungjawab sungguhpun projek-projek lereng bukit di sana menerima banyak bangkangan penduduk sekeliling yang khuatir keselamatan mereka.

Menurut Charles, arahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya untuk membekukan projek-projek lereng bukit adalah gimik politik dan suda terlambat umpama 'nasi telah pun menjadi bubur '.

Beliau juga menggesa agar kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pembangun yang menjalankan projek maut tersebut yang langsung tidak menitikberatkan kepentingan rakyat tetapi keuntungan material semata-mata.

"Kerajaan juga perlu mendapatkan kumpulan pakar termasuk ahli geologi bebas untuk memeriksa semua kondominium di sekitar Bukit Antarabangsa agar perisitwa sedemikian tidak berulang", jelas Charles.

Beliau juga bersyukur atas pembekuan projek lereng bukit yang dipersetujui Kerajaan Pusat termasuk pembangunan Bukit Gasing yang tetap berdegil untuk meneruskan sehingga penduduk di sana terpaksa memohon penilaian semula dari mahkamah.

Sementara itu Menteri Kerja Raya, Dato' Ir Mohd Zin Mohammad pula menyatakan terdapat takungan air pada cerun yang runtuh yang berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak beberapa hari sebelum kejadian.

"Kita akan mencari punca bagaimana takungan air ini terjadi dan cara untuk mengatasinya. Bagaimanapun, CKC akan tetap memulakan kerja-kerja pembersihan tersebut sebelum Ahad ini dan dijangka siap dalam masa sebulan," katanya.

Siasat segera

Beliau berkata, kerja-kerja siasatan tapak dan pemetaan kerosakan pula akan bermula pada minggu depan.

Katanya, sementara itu, tugas-tugas pemantauan cerun dan pergerakan tanah pula terus dilaksanakan sejak kejadian berlaku dengan menggunakan peralatan penandaan tanah dan bangunan yang dipasang di kawasan perumahan dan permukaan cerun tanah di situ.

"Dari pemantauan awal, didapati berlaku tanah gelongsor yang menyebabkan runtuhan kira-kira 120,000 meter padu tanah dengan jarak 200 meter panjang dan 100 meter lebar serta sedalam 10 meter di kawasan itu,"jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di kawasan terlibat di Bukit Antarabangsa dapat bersabar sementara pihak JKR menyelesaikan siasatan dan kerja-kerja pembersihan.

"Kerja-kerja ini mengambil masa kerana ia memerlukan siasatan dan kajian terperinci. Ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana jika tersalah perhitungan, kejadian sama boleh berulang,"katanya.

Mohd. Zin berkata, pihaknya faham bahawa penduduk mahu pulang ke rumah masing-masing ditambah dengan musim persekolahan yang akan bermula tiga minggu lagi namun aspek keselamatan perlu diutamakan.

Usah buat spekulasi

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tahap keselamatan cerun di kawasan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKR juga akan mengkaji untuk membuka laluan pada jalan utama yang telah tertimbus akibat kejadian tanah runtuh itu.

"Kita akan cuba membuka laluan tersebut tetapi dengan penuh berhati-hati kerana jika ada sedikit pergerakan tanah ia boleh menyebabkan keadaan lebih buruk,"katanya.

Jelasnya, sementara kerja-kerja membuka jalan utama itu dilaksanakan, JKR telah membina jambatan baru kekal yang akan membolehkan penduduk keluar masuk menggunakan kenderaan mereka.

Dalam kejadian di Bukit Antarabangsa, sekurang-kurangnya 14 banglo ranap sama seperti melihat tayangan semula tragedi Highlands Tower berdekatan hampir genap 15 tahun lalu.

Pada 11 Dis 1993, satu blok kondominium di projek Highlands Tower tumbang seperti susunan kad, menimbusi 48 orang hidup-hidup.

Tragedi itu adalah satu ingatan tegas dan pembuka mata tentang bahaya pembangunan perumahan di lereng bukit di sekitar Lembah Klang, kawasan kediaman paling sesak, dan tempat kediaman golongan kaya dan terkenal.

Banyak risalah dihasilkan yang selalunya menuding jari kepada pihak mana harus dipersalahkan, tetapi apa yang jelas tidak ada orang yang belajar dari tragedi seumpama itu.

Memori Highland Towers

Sebelum ini belumpun memori Highlands Tower lenyap dari ingatan rakyat satu lagi kejadian tanah runtuh awal pagi di Taman Hillview juga berhampirakan tempat tragedi Bukit Antarabangsa, menimbusi rumah bekas Panglima Angkatan Tentera Jen. (B) Tan Sri Ismail Omar pada 21 Nov 2002, mengorbankan enam anggota keluarga termasuk isterinya dan dua pembantu rumah Indonesia.

Walaupun agensi kerajaan dan pihak berkuasa telah mengeluarkan pelbagai jenis garis panduan dan undang-undang mengenai pembangunan lereng bukit.

Namun, kegiatan tarahan dan penggondolan bukit yang satu ketika lalu indah dengan flora dan faunanya terus dilakukan samada dengan izin atau tanpa izin pihak berkuasa.

Paling mengecewakanj banyak pihak ialah mereka yang menggondolkan kawasan bukit termasuk yang pernah berlaku di Taman Cahaya Sri Alam kadangkala bebas dari menghadapi sebarang hukuman.

Sedar atau tidak, semua pihak bertanggungjawab dalam menempa bala Allah ini yang datang tanpa disedari. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.