BERNAMA
KUALA LUMPUR: Modus operandi dan objektif Institut Jantung Negara (IJN) akan kekal sebagai pusat jantung yang berkhidmat untuk rakyat walaupun ia diambilalih pada masa akan datang, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.
Katanya hasrat Sime Darby Bhd untuk menguasai pegangan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, yang mengendalikan IJN, masih pada peringkat perbincangan.
"Modus operandi yang sedia ada tetap akan dikekalkan jika hasrat syarikat korporat itu (Sime Darby) untuk menguasai pegangan dalam IJN tercapai," katanya kepada pemberita selepas melawat dua pesakit yang menghidap "Dilated Cardiomyopathy" di IJN di sini hari ini.
Menurut laporan, Sime Darby telah mengemukakan cadangan mereka kepada kerajaan untuk memperoleh pegangan dalam syarikat itu yang merupakan pusat perubatan jantung utama di rantau ini, yang 99.99 peratus milik Kementerian Kewangan.
Liow berkata kerajaan akan terus memberi bantuan kepada 80 peratus pesakit kerajaan yang dirawat di IJN walaupun organisasi lain mengambilalih IJN.
"IJN mempunyai 80 peratus pesakit daripada kerajaan termasuk pesakitpesakit miskin, mereka dihantar oleh kerajaan dan kos rawatannya ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu IJN tidak boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan jika diambilalih organisasi lain," katanya.
Liow berkata Sime Darby harus mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial jika ingin mengambilalih IJN. "Sime Darby atau siapapun yang ingin mengambilalih IJN perlu mempunyai komitmen yang penuh terhadap tanggungjawab sosial dan perlu meneruskan komitmen itu serta menjaga kesejahteraan orang ramai yang memerlukan bantuannya," katanya.
Beliau berkata cadangan yang dihantar Sime Darby masih dikaji pada peringkat Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi.
Sementara itu, Liow berkata Kementerian Kesihatan akan mengadakan kursus serta taklimat mengenai kepentingan pendermaan organ kepada doktordoktor yang bertugas di wad kecemasan agar mereka faham mengenai kepentingannya.
"Selalunya doktor kena mengambil inisiatif dan menanya ahli keluarga pesakit untuk menderma organ, jadi kita nak pastikan doktordoktor ini ada pengetahuan tentang pendermaan organ dan melaksanakan tugas mereka dengan penuh bertanggungjkawab demi menyelamatkan lebih banyak nyawa," kata beliau.
Terdahulu, Liow melawat dua pesakit yang menghidap "Dilated Cardiomyopathy" iaitu Winnie Chan, 23, seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit tersebut sejak Februari lepas dan Tan Geek Koon, 40, yang menderita penyakit yang sama sejak September lepas selepas melahirkan anak keempatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.