Khamis, 18 Disember 2008

Kekuasaan polis ganti keluhuran Perlembagaan

Tajdid


Jika hobi boleh didefinisikan sebagai satu amal perbuatan yang berterusan yang dilakukan dengan penuh keceriaan, maka kerja menangkap dan menahan orang yang terlibat dengan perhimpunan boleh dikatakan sebagai hobi pihak polis di negara ini.

Tetapi hobi itu sendiri ada yang baik dan ada yang tidak baik. Menangkap orang yang hanya berhimpun secara aman sudah pasti adalah satu hobi yang tidak baik.

Bercakap tentang perhimpunan aman di negara ini ianya dikawal oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah hak yang asas yang dijamin oleh undang-undang tertinggi di negara ini. Secara teorinya apabila sesuatu hak itu dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan kita boleh katakan hak tersebut adalah satu hak yang amat penting.

Tidak sepertimana di England di mana Parlimen adalah kuasa yang tertinggi di negara tersebut, di negara ini Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini (lihat Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan).

Tetapi itu hanya di dalam teori. Kata-kata manis sering diabadikan di dalam teori. Tetapi apa yang penting adalah perlaksanaannya secara praktikal. Dari segi praktisnya jaminan dan perlindungan hak berhimpun secara aman di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak memberi nilai apa-apa.

Benar, ianya tidak memberi nilai apa-apa. Secara praktisnya, apa yang berlaku adalah kuasa polis amat besar di dalam isu perhimpunan. Ketinggian kuasa polis (police supremacy) hakikatnya menggantikan ketinggian Perlembagaan Persekutuan (constitutional supremacy).

Bagaimana ini berlaku? Sebahagian kesalahan itu bolehlah kita kaitkan dengan penggubal Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Meskipun Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman namun penggubal Perlembagaan masih merasakan perlunya memberikan kuasa kepada Parlimen (elemen lain selain dari Perlembagaan) untuk menghadkan hak berhimpun secara aman di dalam Perlembagaan itu.

Walau apa pun niat penggubal Perlembagaan itu, apa yang pasti mereka tidak sedar apabila Parlimen dikuasai oleh parti yang sama untuk tempoh yang panjang, hak berhimpun tersebut dengan mudah dinodai oleh Parlimen itu sendiri.

Memandangkan Parlimen sering dikuasai oleh BN sejak pilihan raya umum yang pertama, ahli-ahli Parlimen BN menggunakan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan untuk menghadkan hak berhimpun tersebut. Maka digubalnya satu akta untuk tujuan tersebut iaitu Akta Polis 1967.

Seksyen 27 dimasukkan di dalam Akta Polis tersebut. Seksyen tersebut bukan sekadar menghadkan hak berhimpun tetapi sebaliknya 'membunuh' hak berhimpun itu.

Hak rakyat untuk berhimpun di mana-mana bahagian di dalam negara kini bergantung kepada belas ikhsan seorang Ketua Polis Daerah (KPD). Bayangkanlah hak berhimpun yang dijamin oleh undang-undang tertinggi di negara ini kini ditentukan oleh sekeping permit yang dikeluarkan oleh seorang KPD yang amat berkuasa dan sering menyalahguna kuasa. Fakta bahawa KPD adalah proksi BN adalah suatu yang sukar nak dipertikaikan.

Sebagai satu contoh lihat sahaja satu diskriminasi pihak polis. Perhimpunan menyokong ISA yang dianjurkan oleh badan-badan pro-Umno di Jalan Tun Razak pada 23 November tidak langsung diganggu oleh polis, jauh sekali pesertanya ditangkap. Sebaliknya perhimpunan menentang ISA anjuran Pakatan Rakyat dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dibuat di sebelah malam pada hari yang sama di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya menyaksikan ratusan kehadiran polis bertopi merah dan berakhir dengan tangkapan sembilan orang termasuk Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu atas alasan tiada permit.

Kita pun tidak pasti pada malam itu adakah rakyat berhimpun tiada permit atau hakikatnya polis yang berhimpun tiada permit!

Terdapat dua bentuk perhimpunan di dalam Akta Polis 1967. Pertamanya perhimpunan di tempat awam yang memerlukan permit polis di bawah seksyen 27 Akta Polis. Keduanya perhimpunan di premis persendirian yang tidak memerlukan permit dan ianya di kawal oleh seksyen 27A Akta Polis.

Dalam banyak keadaan, pihak KPD sering tersalah anggap bahawa Akta Polis memberikan kuasa yang amat luas kepada mereka untuk memberikan atau tidak memberikan permit. Hatta Akta Polis membenarkan perhimpunan yang diberikan permit dibatalkan permitnya tanpa sebarang alasan perlu diberikan.

Sering kali pemberian permit dinafikan di atas alasan yang diulang-ulang iaitu menjejaskan keselamatan negara sedangkan apa yang berlaku ianya menjejaskan keselamatan Umno dan BN! Pernah berlaku di Negeri Sembilan polis membatalkan permit kerana perhimpunan diadakan berhampiran kawasan perkuburan. Pernah juga berlaku perhimpunan yang nak di buat di Muar dan di Klang, KPD meminta tuan rumah mengemukakan geran tanah. Minta permit dah macam buat pinjaman di bank!

Sebagai peguam dan aktivis politik saya mempunyai pengalaman yang agak banyak dengan Akta Polis. Alhamdulillah, setakat ini hampir semua kes mahkamah berhubung permit dimenangi oleh PAS. Sebagai aktivis politik pula saya sendiri sudah dua kali dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Polis.

Pengalaman mengendalikan kes perhimpunan haram di bawah Akta Polis memberi keyakinan kepada saya bahawa pihak polis khususnya KPD tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan Akta ini.

pengalaman menyoal Ketua Polis Daerah

Saya pernah menyoal balas seorang KPD di Mahkamah dan bertanyakan dia perbezaan seksyen 27 dan seksyen 27A Akta Polis dan dia tidak boleh menjawab. Saya katakan kepada KPD tersebut bagaimana beliau boleh memproses permohonan permit jika beliau sendiri tidak tahu seksyen 27 dan 27A Akta Polis.

Dalam satu perbicaraan di mahkamah, saya menyoal seorang KPD tentang bentuk perhimpunan yang memerlukan permit. Dia menjawab perhimpunan yang dihadiri oleh tiga orang atau lebih. Saya pun bertanya jika saya, isteri saya dan anak saya berhimpun di rumah adakah saya perlu dapat permit?

Dia menjawab: "Oh! Perhimpunan yang perlu permit mesti dihadiri oleh empat orang."

Saya bertanya lagi: "Baiklah, jika empat orang, saya tambah satu lagi anak saya. Adakah masih perlu permit?"

KPD itu tidak dapat menjawab dan beliau ditertawakan oleh polis-polis yang ada di Mahkamah dan juga oleh tuan Majistret sendiri.

Polis mungkin berkuasa menangkap dan menahan rakyat yang tidak berdosa yang berhimpun secara aman. Tetapi apabila berada di Mahkamah saya berani mengatakan polis adalah saksi yang paling tidak berkuasa dan paling teruk apabila memberikan keterangan mereka di Mahkamah di dalam kes-kes perhimpunan haram.

Yang terbaru apabila Dr Hatta dan seorang lagi aktivis KeADILan didakwa terlibat di dalam perhimpunan haram (perhimpunan protes kenaikan harga minyak) di bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Kami sebagai peguambela dengan mudah berhujah dan berjaya meyakinkan Mahkamah bahawa pertuduhan itu tidak sah dan dakwaan ke atas Dr Hatta patut dibatalkan. Hujah kami, perhimpunan haram di bawah seksyen 143 mestilah mempunyai 5 orang ke atas dan memandangkan hanya dua orang sahaja di dakwa maka pertuduhan itu tidak sah. Mahkamah bersetuju dengan kami dan memerintahkan Dr Hatta di bebaskan tanpa dibicarakan.

Untuk pasukan polis, janganlah membuang masa mengganggu perhimpunan aman rakyat. Bukankah lebih baik tenaga dan masa anda ditumpukan kepada menangkap para penjenayah yang sebenar. Di situlah letaknya kemuliaan uniform anda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.