Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Jurufoto akhbar Tamil, Makkal Osai mendakwa dia dikasari Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu ketika membuat liputan majlis makan malam di Klang semalam.
Kira-kira 12 jam selepas membuat laporan, jurufoto berkenaan, M. Samy atau lebih dikenali dengan nama Vinoth berkata, beliau telah dihubungi oleh seorang wakil Samy vellu yang memintanya menarik balik laporan polis berkenaan yang dibuat di Balai Polis Klang malam tadi.
"Pagi tadi seseorang telah hubungi saya dan minta tarik balik (laporan), tapi saya tak boleh tarik balik.
"Saya telah dimalukan depan orang ramai... semua orang nampak tindakan kasar itu," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Dalam kejadian di Kelab Eksekutif Klang semalam, jurufoto itu mendakwa bekas Menteri Kerja Raya berkenaan bertindak kasar dengan menarik kamera miliknya.
"Beliau turun dari pentas selepas menamatkan ucapannya dan pergi marah-marah di sebuah meja.
"Saya masa itu (sedang) ambil gambar beliau tengah marah, tapi kemudian beliau terus rampas kamera saya.
"Bila beliau tahu saya jurufoto dari Makkal Osai, terus dia terus tambah marah dengan berkata bahawa sebab Makkal Osai, MIC kalah teruk pada pilihan raya umum lalu," katanya menceritakan semula kejadian yang dihadiri oleh kira-kira 140 orang ahli MIC dari bahagian Klang dan Kapar.
Pada mulanya Samy marah kepada tetamu yang hadir kerana tidak memberi tumpuan semasa beliau menyampaikan ucapan dan sibuk menikmati hidangan dan berjalan keluar.
Justeru, katanya, Samy menghentikan ucapannya bagi memberi peluang tetamu yang hadir untuk makan dahulu.
Setengah jam kemudian beliau kembali ke pentas dan berkata akan menghentikan ucapannya kerana mendakwa tiada siapa yang memberi perhatian.
Vinoth menjelaskan, selepas Samy turun dari pentas buat kali kedua itulah kejadian tersebut berlaku.
"Bila beliau rampas kamera saya, beliau marah saya dan kata wartawan Makkal Osai tidak boleh datang ke majlis itu dan tak boleh ambil gambar.
"Tapi saya datang atas urusan kerja kerana kehadiran saya memang dijemput oleh seorang ahli MIC yang terlibat dalam majlis itu.
"Kalau saya tak boleh buat liputan sekalipun mengapa beliau tak cakap awal-awal masa saya ambil gambar beliau dikalungkang bunga malai... ini beliau marah bila saya ambil gambar dia tengah marah orang," katanya.
Jelasnya lagi, beliau akan mendapatkan khidmat peguam bagi membantu menguruskan kes ini kerana mendakwa insiden sedemikian adalah kali kedua dialaminya.
Vinoth mengakui kameranya telah dipulangkan selepas insiden itu berkahir tetapi sebahagian gambar telah dipadamkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.