Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Jika rakyat Malaysia ingin elak daripada nasib buruk ini menimpa negara, rakyat perlu beritahu Umno dan kepimpinannya awal-awal lagi iaitu rakyat akan tolak Umno jika orang yang diketahui umum terlibat dengan rasuah dipilih sebagai pemimpin Umno pada pemilihan Majlis Tertinggi Mac 2009, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Umno pimpinan perasuah dan perosak tidak harus diberi kuasa memimpin negara yang tercinta ini, tegas beliau.
"Rakyat tidak berminat dengan parti-parti lawan tetapi mereka tidak ada pilihan.
"Umno sudah jadi parti pimpinan ramai perasuah dan jika Umno menang bersama BN, maka yang akan memerintah Malaysia ialah orang yang menjadi Perdana Menteri dan Menteri melalui rasuah dan mereka ini tetap akan amalkan rasuah dalam kerajaan untuk dapat balik "pelaburan" mereka dan lebih daripada itu," kata bekas Presiden Umno itu.
Demikian juga, kata Dr Mahathir, jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "cuba terus menjadi Perdana Menteri selepas Mac 2009, rakyat harus beri mesej yang jelas yang Umno serta BN akan dikalahkan".
"Kerosakan yang telah dilakukan selama lima tahun Abdullah menerajui Kerajaan Malaysia sudah cukup buruk.
"Fikirkanlah akan keburukan yang akan dilakukan kepada Umno dan negara apabila seluruh kepimpinan Kerajaan terdiri daripada perasuah," kata beliau yang sebelum itu mendedahkan berita angin yang berkembang bahawa walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi Presiden Umno, beliau tidak semestinya akan menjadi Perdana Menteri dan Abdullah masih berminat meneruskan jawatan Perdana Menteri.
Dr Mahathir mendedahkan, dalam Umno sekarang sudah ada orang yang berpendapat kalau ini adalah kali terakhir mereka akan dapat sogokan, lebih baiklah mereka menerima.
"Sekurang-kurang mereka akan kecapi "nikmat" sekali. Mungkin tidak akan ada peluang lagi. Apa jadi kepada Umno, bangsa dan negara adalah masalah lain, bukan masalah mereka. Bagi mereka "nikmat" tidak boleh ditolak, walaupun hanya RM100," katanya._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.