AFP
NEW YORK - Harga minyak mentah dunia telah jatuh ke paras terendah baru sejak empat tahun dalam dagangan tidak menentu menjelang Krismas berikutan ekonomi dunia yang suram, kata para penganalisis.
Minyak berkualiti tinggi bagi penghantaran Februari jatuh AS$3.63 (RM12.63) untuk ditutup pada paras AS$35.35 (RM123. 01) setong di New York Mercantile Exchange, kejatuhan harga buat kali kesembilan berturut-turut.
Di London, harga minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Februari jatuh AS$3.75 (RM13.05) ditutup pada paras AS$36.61 (RM127.40) setong, paras terendah sejak Julai 2004.
Penganalisis berkata, kejatuhan tersebut dipacu oleh kebimbangan kemelesetan global yang menjejaskan permintaan tenaga.
''Data ekonomi kekal lemah,'' John Kilduff dari MF Global. Laporan terbaru daripada Amerika Syarikat (AS) mengesahkan keadaan itu.
Dalam penurunanya yang pertama kali dalam tempoh empat bulan, pendapatan persendirian menguncup 0.2 peratus pada bulan November , sekali gus mengejutkan penganalisis yang menjangkakan tiada perubahan berlaku.
Perbelanjaan penggunaan menyusut 0.6 peratus sebulan sebelum Krismas, kejatuhan kali kelima berturut-turut, menurut Jabatan Perdagangan negara itu.
Jabatan Buruh berkata dalam laporan berbeza, pengangguran mingguan AS, meningkat sebanyak 30,000 beberapa minggu lalu kepada 586,000 menunjukkan kelemahan dalam status pekerjaan AS.
Jumlah tersebut adalah lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 558,000 oleh pakar ekonomi swasta kerana jumlah pengangguran merupakan penanda aras terbaik bagi hala tuju ekonomi.
Kilduff berkata, harga pasaran minyak terus jatuh dalam aktiviti ekonomi.
''Pasaran tenaga dilihat tidak memberi kesan terhadap usaha rangsangan dalam pasaran lain dan kemuraman harga tidak mencerminkan realiti harga keluaran.
''Jelas sekali kita belum mencecah paras terakhir,'' katanya.
Penurunan minyak mentah sehingga 3.1 juta tong dalam inventori AS kebiasaannya akan meningkatkan harga.
Minyak mentah New York bagi hantaran Januari jatuh ke paras AS$32.40 (RM112. 75) pada Jumaat lalu iaitu paras terendah sejak 9 Februari 2004 apabila pelabur berebut menjual pelaburan sebelum kontrak tamat tempoh.
Penganalisis berkata, data terbaru AS menunjukkan ekonomi terbesar dunia itu kekal dalam kemelut kemelesetan dan akan terus memberi tekanan kepada harga minyak mentah dunia dalam masa terdekat.
Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang mengeluarkan 40 peratus jumlah keseluruhan minyak mentah dunia, telah bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari untuk meningkatkan harga pasaran.
Tetapi harga terus jatuh, harga minyak mentah telah merudum sehingga 78 peratus sejak mencecah rekod tertinggi melebihi AS$147 (RM511.26) setong Julai lalu, berikutan krisis ekonomi telah mengurangkan permintaan tenaga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.