Isnin, 1 Disember 2008

Dr Juanda, Mufti Perlis baru gantikan Dr Asri?

Oleh ZIEMAN


PETALING JAYA: Teka-teki siapa bakal menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Mufti Perlis akhrinya terjawab.

Menurut sumber sahih, bekas naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya dijangka akan mengambilalih jawatan Mufti Perlis tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, tarikh perlantikan Dr Juanda belum lagi ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Perlis.

Ini disebabkan beliau akan berlepas menunaikan fardhu Haji ke tanah suci hari esok. Dr Juanda juga gagal dihubungi kerana sibuk membuat persiapan terakhir untuk ke tanah suci.

Dr Juanda akan berada di Mekah selama dua minggu.

Dengan perlantikan ini, lenyaplah segala desas desus siapa bakal menggantikan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang telah menamatkan perkhidmatannya semalam.

Dr Asri berlepas ke United Kingdom jam 10.45 pagi tadi untuk cuti sabatikal bagi menyempurnakan kajian perbandingan mengenai tafsiran hadis antara fundementalis dengan orientalis.

Sebelum ini, pesaing terdekat Dr Juanda ialah Dr Azwira A Aziz, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga dikatakan antara pilihan mengisi kekosongan kerusi Mufti Perlis itu.

Dr Juanda berusia 37 tahun dan berketurunan Melanau disifatkan lebih ‘liberal’ dan merupakan kenalan Dr Asri.

Bakal Mufti baru yang menulis di ruangan sebuah akhbar arus perdana ini dikatakan mempunyai pemikiran yang sederhana dan aliran beliau senang diterima ramai kerana lembut dan tidak kontroversi dengan ahli sunnah.

Sebelum perlantikan rasmi ini, Dr Juanda pernah ditemuramah oleh mStar Online mengenai peluang beliau mengisi kerusi penting di Perlis itu.

Dr Juanda menyifatkan jawatan Mufti sebagai ’satu amanah yang besar.’

“Ini amanah besar dan saya kena tanggung risiko yang besar. Pencapaian saya tidak boleh kurang dari apa yang telah dijalankan oleh Dr Asri,” kata Dr Juanda ketika itu.

Menurut beliau lagi, Dr Asri telah membawa kedudukan Mufti Perlis ke peringkat nasional.

"Peranan yang dimainkan Mufti bukan setakat pemimpin pada masyarakat di Perlis saja,” katanya.

Dr Juanda juga mengaku banyak menimba pengalaman bersama Dr Asri dan berharap dapat menjalankan tanggungjawab barunya dengan berkesan, seperti mana yang pernah dilakukan oleh Dr Asri.

"Islam perlu dimartabatkan dan fahaman yang salah itu perlu diperbetulkan,” jelas tokoh agama kelulusan Universiti Al-Azhar yang juga bekas penolong pengarah di bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak.

Ramai yang ternanti-nanti apakah agaknya arus perubahan yang akan dibawa oleh pemegang Ijazah Sarjana Syariah pengkhususan penggubalan Undang-undang Keluarga Islam Malaysia dari UKM ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.