Jumaat, 19 Disember 2008

Biro aduan awam didakwa 'enggan terima rungutan'

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini 5:33pm)


Pengaduan Awam (BPA) didakwa enggan menerima rungutan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru walaupun mereka hadir bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini.

Menurut penasihat jawatankuasa bertindak kumpulan itu Syed Othman Syed Abdullah, pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam sendiri hadir di pejabat biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu di Johor Bahru.

Bagaimanapun biro itu tidak bersedia menerima aduan penduduk berhubung perobohan rumah-rumah mereka dan penempatan semula dengan alasan "mereka (BPA) tidak dimaklumkan terlebih dahulu" dan juga "tidak membawa aduan bertulis", kata Syed Othman.

Setelah satu berada sejam di pejabat biro, Siva dan lima wakil Pertubuhan Kebajikan Kampung Baru Plentong Tengah (PKKBPT) meninggalkan tingkat 21 bangunan Komtar tanpa membuat sebarang aduan.

Syed Othman memberitahu Malaysiakini lagi, kelima-lima mereka bagaimanapun tidak menemui sendiri pegawai biro berkenaan dan mereka dimaklumkan tentang keengganan itu daripada Siva.

"Dalam masa satu jam itu, tiada ada apa-apa keputusan melainkan kekecewaan," katanya, yang juga ahli jawatankuasa badan perhubungan PAS Johor.

Menurutnya, Siva memaklumkan kepada mereka, "daripada semua biro aduan awam (di seluruh negara), inilah negeri yang paling mengecewakan."

Dihubungi hari ini, pesuruhjaya itu (foto) mengesahkan tiada temujanji dibuat antara biro berkenaan dengan Suhakam untuk membincangkan isu penempatan baru penduduk di Bukit Dagang.

Katanya, kehadiran mereka bersama penduduk hari ini bertujuan mengemukakan butir-butir tentang pengaduan penduduk di lokasi tersebut, kira-kira 50 km dari Kampung Baru Plentong Tengah.

Tambahnya, suruhanjaya itu akan menulis surat selepas ini untuk bertemu Biro Pengaduan Awam bagi membawa isu itu semula.

Dalam pertemuan ringkas beliau dan dua pegawai suruhanjaya, tambah Siva, biro berkenaan memaklumkan terdapat satu aduan berhubung penempatan di tempat tersebut.

Pengadu mendakwa tidak diberikan tempat untuk tinggal di Bukit Dagang.

Bagaimanapun siasatan biro tersebut mendapati pengadu tidak pernah membuat permohonan, tambah Siva.

Malaysiakini gagal mendapatkan reaksi salah seorang penolong pengarah BPA Abdul Karim Atan yang bertemu dengan pesuruhjaya itu.

Seorang pegawai wanita, yang enggan mendedahkan namanya, berkata BPA akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini secepat mungkin.

Pengerusi penaja PKKBPT Kamarul Arifin Yusa (foto) mengesahkan BPA tidak merekodkan sebarang aduan berhubung perkara tersebut.

Dengan layanan yang baik, katanya, BPA meminta penduduk menyiapkan aduan secara bertulis kepada biro tersebut.

Ditanya sebab penduduk tidak membuat temujanji dengan BPA sebelum ke pejabatnya 9.30 pagi tadi, beliau berkata:

"Hendak buat aduan, apa perlu dibuat temujanji terlebih dahulu. Kerana aduan (seharusnya) buka setiap masa," katanya.

Rancangan wakil penduduk untuk mengiringi pesuruhjaya Suhakam itu berjumpa dengan Menteri Besar Johor dibatalkan kerana Datuk Abdul Ghani Othman bercuti di luar negara sehingga hujung bulan ini.

Perjumpaan tertutup antara suruhanjaya itu dengan Abdul Ghani dirancang, antara lain, bagi membangkitkan isu pampasan yang sewajarnya kepada penduduk daripada kerajaan negeri.

Mereka juga memohon bantuan persediaan untuk anak-anak ke sekolah memandangkan sesi persekolahan tahun baru akan bermula dua minggu lagi.

Suhakam mengadakan lawatan dua hari sejak semalam untuk meninjau nasib penduduk selepas menerima aduan wakil-wakil PKKBPT di Kuala Lumpur, 11 Disember lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.