BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah hasrat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang ingin mengambil alih 51 peratus kepentingan Institut Jantung Negara (IJN) untuk diswastakan kerana berpendapat ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Nordin berkata perkara itu perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.
"Jangan kerana hanya gah untuk memastikan IJN dikenali di seluruh dunia dan mempunyai peralatan yang terkini tetapi rakyat Malaysia hanya mampu melihat dari jauh...apa gunanya kita mempunyai pusat rawatan jantung canggih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jaminan Sime Darby bahawa kos rawatan bagi golongan pendapatan rendah dikekal adalah tidak munasabah memandangkan kos perkhidmatan akan meningkat apabila sesuatu perkhidmatan itu diswastakan.
"Memang tidak dinafikan bahawa setiap agensi yang diswastakan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding perkhidmatan sedia ada tetapi ini tidak bermakna jika perkhidmatan yang diberikan tidak mampu dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah kerana kos rawatan yang tinggi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.