Khamis, 27 November 2008

Tetapkan gaji minimum pekerja

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menetapkan gaji minimum pekerja di sektor-sektor ekonomi tertentu bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan para majikan di sektor seperti pembuatan, perladangan dan pembinaan mengambil pekerja asing dengan gaji jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan.

‘‘Golongan majikan sekarang cenderung mengambil pekerja asing dengan gaji antara RM600 hingga RM900 sebulan bagi mengurangkan kos operasi syarikat terutamanya dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global.

‘‘Pembayaran gaji yang rendah dan ketiadaan penetapan gaji minimum juga menyebabkan rakyat tempatan tidak mahu bekerja di sektor perladangan sehingga kita terpaksa mengambil pekerja dari Indonesia dan India sebagai penoreh getah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Soi Lek yang juga Pengerusi Biro Pemantau Dasar Kerajaan turut meminta kerajaan jangan membuat kenyataan politik berhubung matlamat mengurangkan pekerja asing sehingga 400,000 orang menjelang 2010, sebaliknya perlu mencari mekanisme yang konkrit untuk mencapai matlamat itu.

‘‘Jumlah pekerja asing di negara ini telah meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 2.1 juta orang berbanding lapan tahun lalu, keadaan ini amat membimbangkan orang ramai apabila masalah keselamatan dan penyakit berjangkit sering berlaku,” jelasnya.

Soi Lek menambah, kementerian berkenaan juga boleh mencontohi Singapura dalam menyediakan latihan untuk tujuan pertukaran pekerjaan bagi meningkatkan kemahiran rakyat dan menampung permintaan pasaran.

‘‘Sebagai contoh, seorang kerani yang hendak menukar kerja menjadi seorang juru jual boleh diberi latihan kemahiran selama 40 hari dan seorang pengurus yang hendak menukar kerja menjadi seorang guru pula diberi latihan antara 18 bulan hingga dua tahun,” jelasnya.

Menurut beliau, kerajaan harus mewujudkan sistem pemantauan bagi memastikan syarikat swasta tidak menjadikan pekerja tempatan sebagai mangsa pembuangan kerja berbanding pekerja asing jika mereka hendak mengurangkan kos operasi syarikat.

‘‘Kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2010 dijangka lembap dan ia pasti akan meningkatkan kadar pengangguran serta mengurangkan peluang pekerjaan di negara ini.

‘‘Selain itu, kerajaan Singapura turut menjangkakan lebih 30,000 rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu akan kehilangan pekerjaan pada dua tahun akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas percanggahan pendapat antara beliau dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, Soi Lek menegaskan, beliau tidak memerlukan seorang pendamai atau pihak ketiga untuk membantu mengatasi perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.