Ahad, 30 November 2008

SEJARAH DAN PUNCA POLITIK WANG

Ruhanie Ahmad


Terminologi politik wang mula popular pada awal 1980-an. Pada ketika itu, pelbagai kaedah dan cara dilakukan oleh segolongan warga UMNO yang berhasrat memenangi sesuatu jawatan di peringkat cawangan, bahagian atau majlis tertinggi.

Amalan politik wang pada era itu tidak membabitkan pemberian wang kepada para perwakilan secara hakiki. Wang ringgit hanya digunakan secara indirect oleh seseorang calon yang mengamalkan rasuah politik untuk mendorong para perwakilan memberikan undi kepada dirinya.

Contohnya, para perwakilan yang menerima amalan rasuah politik akan dibawa melancong oleh seseorang calon yang telah memenangi jawatan idamannya. Destinasi popularnya adalah Jakarta, Medan atau Bangkok.

Selain itu, para perwakilan sedemikian juga akan dibelanja berhibur di kelab-kelab dangdut, diberikan hadiah serta cenderamata dalam bentuk kain songket, jam tangan berlambangkan UMNO, dairi atau pun lain-lainnya.

Ini bermakna, tidak ada transaksi wang ringgit secara direct daripada akaun pemberi atau wakilnya kepada pihak penerima. Juga tiada pemberian wang ringgit di dalam envelop secara direct di malam-malam terakhir menjelang pemilihan jawatan di semua peringkat.

Kian Meluas

Fenomena di atas, lama kelamaan jadi semakin meluas, canggih dan sukar untuk dikesan. Antara destinasi pelancongan juga mula termasuk ke Tanah Suci untuk ibadat umrah.

Saya dapati rasuah politik atau politik wang mempunyai banyak puncanya. Ia memerlukan pakar sosiologi, anthropologi, saikologi, saintis politik, pakar jenayah, para peguam serta budayawan untuk menghalusinya secara tuntas dan rinci.

Ini kerana amalan rasuah politik ini membabitkan mentaliti serta perilaku manusia – sama ada pihak yang memberi rasuah atau pihak yang merelakan diri mereka untuk dirasuah dalam sesuatu proses pemilihan kepimpinan UMNO.

Cara-cara rasuah ini dilakukan juga jadi kian canggih selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi, khususnya SMS dan teknologi transaksi wang secara on-line.

Sebab itulah penyakit ini memerlukan satu pendekatan yang bersepadu, menyeluruh dan berkesan untuk membanterasnya. Ia bukan sahaja memerlukan reformasi pengurusan UMNO di semua peringkat. Ia juga memerlukan reformasi minda, pengukuhan jatidiri serta peningkatan keinsafan manusia-manusia politik itu kepada matlamat teras serta cita-cita perjuangan parti.

Idealisme Luntur

Hasil daripada kajian ringkas yang saya jalankan, antara punca utama politik wang adalah seperti berikut:

Satu: Idealisme perjuangan UMNO yang berlandaskan huruf alif, ba, ta - singkatan kepada agama, bangsa, tanahair – kurang dihayati atau sengaja tidak mahu dihayati oleh sesetengah warga dan pemimpin UMNO. Ini mungkin berpunca daripada kesejahteraan, kemewahan dan kebahagiaan hidup di era Malaysia merdeka.

Dua: Ketiadaan key performance index (KPI) untuk menilai serta meningkatkan kualiti kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Tiga: Seluruh jawatan utama dalam hiraki UMNO disifatkan oleh sesetengah warga UMNO sebagai pasport kepada pencapaian pangkat dan darjat dalam kehidupan mereka. Bukannya disifatkan sebagai amanah untuk memperjuangkan nasib serta kehidupan rakyat jelata seluruhnya.

Tiga: UMNO belum mempunyai strategi serta program yang konsisten, terancang, menyeluruh dan berkesan untuk menyemarakkan ideaslisme perjuangan parti di semua peringkat.

Sistem Kuno

Empat: Sistem pemilihan kepimpinan UMNO yang ada sekarang adalah kuno dan tidak lagi sesuai dengan karenah jumlah ahli UMNO yang kian meningkat.

Lima: Ketiadaan prosidur jelas dan tetap dalam pengurusan hal ehwal siasah dan karenah ahli-ahli UMNO di semua peringkat. Perlembagaan parti mengenai disiplin dan tataetika seolah-olah kurang dihormati oleh sesetengah anggota parti.

Enam: Ketiadaan jentera untuk memantau perlanggaran disiplin dan tataetika perjuangan yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

Tujuh: Ketiadaan mekanisme serta kaedah khusus untuk melaporkan kesongsangan perilaku ahli. Ini menyebabkan sesuatu laporan mengenai salahlaku dan perlanggaran disiplin dilakukan secara adhok sehingga menyebabkan wujudnya kes-kes diketepikan kerana kekurangan bukti dan wujudnya elemen-elemen fitnah terhadap sesuatu pihak yang sebenarnya tidak bersalah.

Lapan: Mentaliti bahawa UMNO akan terus hidup, berkembang, kukuh, mantap dan berpengaruh sepanjang zaman – dulu, kini dan selamanya. Ini menyebabkan komitmen sesetengah ahli UMNO memelihara kesejahteraan serta memperkasakan perjuangan parti jadi sambil lewa dan luntur.

Tiada R & D

Sembilan: Wujudnya persepsi bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO. Ini menyebabkan sesetengah ahli UMNO gagal membezakan peranan kerajaan dan parti terhadap masyarakat.

Sepuluh: Terakhir dan bukannya kurang pentingnya, ketiadaan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (research and development) untuk memantau perkembangan UMNO, mengenalpasti masalah pengurusan UMNO, mengukur komitmen kepimpinan UMNO serta membuat perakuan-perakuan untuk sentiasa memperkasakan UMNO.

Demikianlah sebahagian daripada punca rasuah dalam UMNO. Saya yakin para pakar yang saya sebut di perenggan terawal dalam tulisan ini mampu menghalusinya untuk memberikan perspektif yang lebih berwibawa dan jelas.

Posting saya di blog ini pada Sabtu, 22 November 2008, adalah diantara gagasan dangkal saya untuk mengatasi serta manbanteras gejala rasuah politik ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.