BERNAMA
KUALA LUMPUR:Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bercadang mengadakan peralihan kuasa antara penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada kongres nasional tahunannya Sabtu ini.
Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim berkata perkara itu tidak timbul meskipun Dr Wan Azizah telah melepaskan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding.
"Cadangan itu tidak ada sama sekali dalam kongres nasional kita nanti. Kenapa nak tukar pula? Dia (Dr Wan Azizah) adalah orang yang sesuai untuk mengendalikan parti," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini ketika diminta mengulas desas desus kononnya ada cadangan untuk peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin itu pada kongres parti kali ini.
Pemilihan parti akan hanya berlangsung pada tahun 2010.
Sementara itu, Salehuddin berkata secara peribadi beliau bersetuju dengan usul Wanita parti itu yang mahukan manamana Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dengan skandal seks dan rasuah meletak jawatan.
"Pada dasarnya ia baik tetapi perlulah dibuktikan dahulu yang mereka ini bersalah. Tak boleh letak jawatan begitu sahaja," katanya.
Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak PKR Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi kini menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh berhubung projek pembangunan di Seri Iskandar yang bernilai RM180 juta.
Selain itu, Anwar juga sedang menghadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini kerana didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lepas.
Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor pada 29 dan 30 November ini, akan disertai 1,900 perwakilan daripada 180 bahagian di seluruh negara.
Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR akan mengadakan kongres nasional tahunan masing-masing pada 28 November juga di Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.