Sabtu, 22 November 2008

Projek D’Muara Dorani Marine Park dibawa ke BPR

SINAR HARIAN


SABAK BERNAM - Kesemua dokumen laporan asal yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara terhadap projek pembinaan dan pengurusan infrastruktur D’Muara Dorani Marine Park telah dibawa ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor, Lee Kim Sim berkata, dokumen berkenaan telah dibawa kepada BPR kerana terdapat unsur penyalahgunaan dan kecurigaan dalam audit yang dilakukan.

“Semasa mesyuarat kali terakhir, kita (PAC) minta BPR untuk bertindak dengan serius terhadap projek ini dan sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan kuasa atau korupsi ia mestilah di bawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan dan pengurusan infrastruktur pelancongan dan Marine Park, Sabak Bernam serta projek pembinaan jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, ADUN Damansara Utama, Dr Cheah Wing Yin, dan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Katanya, antara kesalahan yang ditemui ketika siasatan terhadap projek seluas 4.12 hektar yang bertujuan untuk mempromosikan perkampungan nelayan dan pelancongan adalah pemberian kontrak tidak melalui tender.

“Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) memilih kontraktor melalui rundingan terus tanpa asas yang meyakinkan. Selain itu, tiada perbincangan antara UPEN dan kontraktor berhubung pembinaan projek ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, tiada sebarang alasan diberikan terhadap peningkatan kos projek dari RM10 juta kepada RM29.98 juta yang ditawarkan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kepada kontraktor.

Kim Sin berkata, UPEN juga tidak menjalankan kajian yang terperinci sebelum membina projek tersebut yang terletak di kawasan sensitif alam sekitar yang mengakibatkan masalah pemendapan.

“Tiada laporan EIA dan ‘interim report’ dan ‘master plan’ dikemukakan oleh UPEN, tetapi bayaran EIA telah dibuat kepada Syarikat Infospace Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata, akibatnya kerajaan negeri perlu menyediakan peruntukan untuk penyelenggaraan berjumlah RM700,000.

Katanya, semasa pembangunan projek tersebut dijalankan tiada sebarang pemantauan dari agensi dan badan yang berkelayakan sebaliknya kuasa pemantauan tersebut telah diberikan kepada Mesyuarat Pembangunan DUN Sungai Panjang dan Yang DiPertua MDSB selaku pegawai penguasa yang diwakili oleh Pembantu Teknik MDSB (GredJ29).

“UPEN perlu melantik syarikat atau agensi yang berkelayakan. Apabila projek selesai banyak struktur binaan yang dibuat tidak mengikut klasifikasi yang ditetapkan antaranya jeti yang dibina pendek, bumbung chalet, dan bilangan chalet juga dikurangkan dari 17 kepada 5 buah,” katanya.

Bagi Projek Integrasi Ladang Kelapa Sawit Sengai Panjang, Kim Sim berkata, projek itu hanya mempunyai masalah kekurangan tenaga kerja kerana pihak kontraktor yang dilantik untuk menyediakan pekerja gagal melaksanakan tugas dan mengakibatkan pendapatan ladang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

Sementara itu, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, bagi projek pembinaan jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam, PAC mempertikaikan cara pelantikan kontraktor yang tidak melalui tender kerana ia dijalankan secara rundingan terus.

Katanya, bagi Projek Jalan Cross Ban 4 sepanjang 20.5 km dari Sekinchan ke Parit 4, kos asal projek berkenaan bernilai RM92.50 juta namun setelah siap kos pembinaan meningkat kepada RM118.30juta.

“Untuk projek Jalan B44 pula, ia melibatkan jalan sepanjang 9.36km dari Kampung Parit 4 ke Ulu Bernam yang kos asalnya dari RM32.50juta meningkat kepada RM32.52juta.

“Kos pembinaan jalan ini meningkat lebih daripada 27%dan ianya memang tidak setimpal dengan keadaan jalan yang ada sekarang,” katanya.

Suee Lim berkata, arahan perubahan kerja berjumlah RM33.20juta dilakukan tanpa mematuhi arahan Perbendaharaan 202 dan tidak mendapat kelulusan Pegawai Kewangan.

Beliau berkata, pembinaan jalan itu juga tidak mempunyai perancangan yang menyeluruh iaitu tidak mengambil kira jambatan yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terlalu sempit dan mengakibatkan jalan yang dibina tidak dapat digunakan sepenuhnya.

“Kualiti jalan dan persiapan jalan raya tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya dan Jabatan Kerja Raya tidak mempunyai jurutera yang mencukupi untuk memantau projek,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.