Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Jika Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sia-sia sahaja peralihan kuasa, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, beliau menjangka, para pengundi akan terus menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) jika para pemimpin barunya meneruskan polisi-polisi hari ini dan tidak bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan politik wang.
"Najib menyatakan bahawa beliau akan meneruskan Islam Hadhari. Ini bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan peralihan yang berlaku hanya peralihan bentuk tubuh badan sahaja, bukan polisi-polisi.
"Para pengundi tidak suka polisi-polisi yang dibawa oleh Abdullah, oleh itu mereka akan terus menolak Umno. Oleh itu, peralihan itu sia-sia sahaja," The Star memetik beliau berkata dalam ucapan kepada para pemimpin dan ahli Umno, bekas-bekas menteri dan kumpulan-kumpulan pelajar Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Dr Mahathir berkata, ketika Umno memerlukan pemimpin yang berani untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh parti, Najib hanya menjaga air muka Abdullah sahaja.
"Kita perlu berfikir sama ada orang yang mengambil alih kuasa dari Perdana Menteri akan membersihkan Umno dari mereka mereka yang kini terlibat dengan rasuah.
"Jika beliau berat sebelah dan tidak berlaku pembersihan, rakyat akan menolak parti itu. Jika mereka akhirnya memilih pembangkang, ia akan mengakibatkan dilema kepada kita kerana kepimpinan mereka tidak meyakinkan," katanya.
Ketika berdialog dengan mereka yang menghadiri perjumpaan itu, bekas Presiden Umno itu menegaskan beliau sanggup ditangkap polis demi mendedahkan nama mereka yang terlibat dengan rasuah politik di dalam Umno.
Beliau berjanji akan mendedahkan nama mereka di dalam blognya, chedet.com
Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak takut mendedahkan kebenaran dan identiti mereka yang teerlibat dalam rasuah politik itu.
"Saya tidak boleh lakukan apa-apa terhadap aduan (rasuah politik) melainkan menyerahkan nama mereka kepada lembaga disiplin Umno. Saya akan dedahkan nama-nama (yang terlibat dengan rasuah politik) itu dalam blog saya.
"Saya tidak takut disaman kerana memfitnah atau ditangkap oleh polis. Jika mereka boleh membebaskan (Editor Malaysia Today) Raja Petra Kamarudin, adakah mereka tidak boleh membebaskan saya juga?"
Sebelum ini, pembantu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, lembaga disiplin Umno bukan sebuah badan bebas dan tidak perlu membuat laporan kepadanya._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.