Safar Jumaat
Umno Bahagian Gua Musang membuktikan pencalonan Umno hanya permainan pondok-pondok yang tidak membawa apa-apa erti, kecuali bagi calon Naib Presiden, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad yang berjaya mendekatkan jumlah mencukupkan kuota yang disyaratkan.
Dalam Persidangan Tahunan yang diadakan, bahagian Gua Musang menepati ramalan banyak pihak, untuk mencalonkan ketua bahagiannya, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden Umno. Pencalonan yang tidak membawa apa-apa erti itu, kerana setakat ini Razaleigh baru mendapat satu pencalonan, dilakukan, sekadar memberitahu mereka mempunyai pandangan sendiri.
Pandangan sendiri itu tidak akan menjejaskan kedudukan pencalonan Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai calon Presiden dan tidak juga merubah apa-apa kedudukan buat Razaleigh yang berhasrat bertanding jawatan nombor satu.
Bukan setakat pencalonan dibuat untuk Razaleigh tidak merubah apa-apa, malahan pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden yang diberikan kepada Dato' Shahrir Abdul Samad juga tidak mampu merubah kedudukan 'matahari naik dari Barat' buat politik Shahrir.
Mengapa Umno Bahagian Gua Musang mencalonkan Shahrir? Apa hubungan Shahrir dengan Razaleigh? Sedangkan Umno Bahagian Gua Musang pimpinan Razaleigh tentunya tahu, Shahrir adalah musuh Razaleigh kerana dia adalah anak buah Tun Musa Hitam.
Bukankah sejarah politik, membuktikan Razaleigh bertembung dua kali dengan Musa, sebelum mereka berpakat untuk menentang Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Lagipun, ketika Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46), Shahrir tidak mengikut Razaleigh. Malahan, timbalan Razaleigh dalam S 46 ialah Dato' Seri Dr. Rais Yatim.
Sejak mula S 46 ditubuhkan, hingga ia dibubarkan, Rais adalah timbalan kepada Razaleigh walaupun, seketika, Rais pernah mengambil cuti belajar apabila dua kali kalah dalam pilihan raya.
Dari segi politik, lebih cantik kalau Umno Bahagian Gua Musang mencalonkan Rais sebagai calon timbalan daripada menamakan Shahrir. Tentulah, Razaleigh akan marah jika ada orang mengatakan pencalonan yang dibuat oleh bahagiannya, seolah-olah permainan pondok-pondok, kerana tiada siapa dapat menggunakan pencalonan itu, kecuali Mohd Isa. >{? Logikanya, mencalonkan Razaleigh oleh Umno Bahagian Gua Musang adalah satu kemestian tetapi mencalonkan Shahrir, hingga menyebabkan Shahrir terkejut, adalah satu permainan yang tidak mudah untuk dibaca.
Malah, jika Shahrir berminat untuk jawatan itu, tentulah bahagiannya, Johor Bahru lebih dahulu dari bahagian Gua Musang mencalonkan. >{? Begitu juga pencalonan bagi jawatan Naib Presiden. Bahagian-bahagian dimestikan membuat pencalonan tiga nama calon Naib Presiden.
Disebabkan itu, entah di mana sayangnya Razaleigh kepada Mohd Isa, menyebabkan Gua Musang mencalonkan Mohd Isa. Pernah suatu ketika, Mohd Isa menjadi bapa angkat kepada Umno Bahagian Gua Musang, menyebabkan Mohd Isa masih mempunyai bekas kasih sayang di bahagian itu.
Tidak pula, Mohd Isa yang mengetuai Umno Bahagian Teluk Kemang mencalonkan Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno, sebagai membalas budi tetapi dua lagi calon Naib Presiden yang bahagian Gua Musang namakan, adalah bukan dari kalangan ketua bahagian.
Mungkin Umno Bahagian Gua Musang membuat pertimbangan, mereka hanya mencalonkan bukan dari kalangan ketua bahagian sebagai calon Naib Presiden kerana ketiga-tiga mereka, Mohd Isa, Dato' Dr. Afiffuddin Omar dan Dato' Halimah Sadique adalah dari kalangan bukan ketua bahagian.
Mohd Isa baru menang tanpa bertanding untuk kembali menjadi Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, yang belum dapat berucap bagi menyampaikan ucapan dasar di Persidangan Umno bahagian itu, Dr. Afiffuddin pula bekas Ketua Umno Bahagian Padang Terap yang dikalahkah Datuk Ghazali Ibrahim dan Halimah pula, Ketua Bahagian Tenggara yang enggan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan yang baru lalu.
Ketika Razaleigh, Shahrir, Dr. Afiffuddin dan Halimah tidak dapat menggunakan semua pencalonan yang mereka terima dari Umno Bahagian Gua Musang, Mohd Isa boleh tersenyum girang kerana pencalonan yang diterimanya menjadikan dia akan semakin dekat dengan jumlah minimum yang disyaratkan, ramai yang tertanya-tanya, mengapa Gua Musang tidak mencalonkan Rais?
Soal mereka, apakah hubungan Rais dengan Razaleigh sudah renggang sekarang? Atau, Umno Gua Musang sudah melupakan Rais dari kamus politik mereka, selepas Rais yang pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46, menjadi Menteri Kabinet. Jika sejarah Rais-Razaleigh dikenang, mustahil Rais tidak mendapat pencalonan dari Umno Bahagian Gua Musang.
Razaleigh juga nampaknya tidak mahu mengesahkan regu antaranya dengan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin seperti yang pernah digembar-gemburkan beberapa pihak sebelum ini. Jika Razaleigh mengikhtiraf desas-desus itu, Umno Gua Musang sepatutnya mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden dan Muhyiddin, timbalan.
Di kalangan bukan penyandang jawatan ketua bahagian, yang dikatakan cukup rapat dengan Razaleigh, sepatutnya turut mendapat pencalonan Naib Presiden Umno ialah Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (bekas Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (bekas Ketua Umno Bahagian Kangar) dan Datuk Ibrahim Azmi Hassan (bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus).
Umno Bahagian Gua Musang dan Tengku Razaleigh mencatat pelbagai sejarah tersendiri. Pergerakan Pemudanya terpaksa bersidang dua kali.
Bertukar ketua Pemuda dan bertukar pencalonan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang akhirnya menjadi milik Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, juga pernah berlaku peristiwa yang serupa, bagi Pergerakan Wanita, yang satunya diikhtiraf bahagian dan satu lagi tidak, menyebabkan suatu ketika dahulu, ada dua Ketua Pergerakan Wanita.
Razaleigh pula, antara calon paling awal mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden Umno, gagal mendapat pencalonan walaupun dari bahagian-bahagian lain di Kelantan, padahal, Razaleigh pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, ketika era kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno.
Sebenarnya, inilah musim pertandingan terakhir yang boleh Razaleigh sertai, jika faktor usia dijadikan ukuran dan generasi sebaya Razaleigh semuanya sudah berundur kecuali Tan Sri Taib Mahmud di Sarawak yang masih kekal sebagai Ketua Menteri dan Presiden PBB. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.