Selasa, 4 November 2008

Najib menang tapi awas politik wang

A Kadir Jasin


DARIPADA nostalgia dan kontrak sosial, mari kita kembali kepada realiti dan janji-janji yang wajib dipenuhi. Terima kasih kerana panas berbahas.

Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, sudah pun menang jawatan Presiden Umno dan, insya-Allah, Mac ini jadi Perdana Menteri.

Jadi dia kenalah tunai janji sejahtera, aman dan makmur yang dibuat oleh Barisan Nasional tempoh hari.

(Maaflah kalau rencana ini panjang sikit.)

Dengan bilangan pencalonan bahagian yang diperolehnya setakat ini, tidak ada lagi calon lain yang boleh mendapat kuota minimum 58 pencalonan untuk menentang beliau.

Bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, hanya memperoleh satu pencalonan sehingga kini.

Ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan Mohd Najib dan membolehkan beliau menumpukan lebih banyak masa dan perhatian kepada hal-hal pentadbiran, khasnya pengurusan ekonomi.

Berasaskan kepada keputusan pencalonan sehingga saat ini, kesimpulan berikut boleh dibuat:

1. Ahli akar umbi masih menaruh harapan kepada parti dan mereka mengharapkan perubahan positif;

2. Tidak wujud pilihan yang luas bagi jawatan Presiden. Majoriti ahli sama ada tidak kenal, sudah lupa atau tidak yakin Tengku Razaleigh sesuai dan relevan;

3. Muhyiddin Yassin berpotensi memberi cabaran yang berwibawa kepada Mohd Najib Abdul Razak jika dia mahu;

4. Walaupun Mohd Najib sudah menang jawatan Presiden tanpa bertanding, 'sikapnya' terhadap Muhyiddin masih kabur;

5. Walaupun dikatakan wujud pakatan atau persefahaman di belakang tabir antara Mohd Najib dan Muhyiddin, hal itu masih tidak jelas kepada majoriti ahli parti;

6. Walaupun Muhyiddin mendahului pencalonan, sebarang bentuk 'endorsement' oleh Mohd Najib boleh memberi anjakan moral kepada beliau;

7. 'Endorsement' daripada Mohd Najib lebih bermakna sekarang kerana Muhyiddin mungkin akan menghadi tentangan daripada Mohd Ali Rustam;

8. Umum melihat Mohd Ali dan Mohammad Muhd Taib sebagai wakil atau setidak-tidaknya orang setia Abdullah Ahmad Badawi;

9. Jawatan Naib Presiden menampilkan muka-muka baru dengan Hishammuddin Hussein mendahului pencalonan diikuti oleh Ahmad Zahid Hamid, Shafie Apdal dan Khalid Nordinl. Mereka meninggalkan calon-calon lain jauh di belakang;

10. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa didakwa semakin menjadi-jadi dan memberi kesan kepada trend pencalonan;

11. Tempoh kempen yang sangat panjang hingga Mac depan akan memburukkan lagi politik wang dan penyalahgunaan kuasa;

12. Calon yang mendapat banyak pencalonan tidak semestinya mendapat undi yang banyak juga daripada perwakilan. Dalam erti kata yang mudah, pencalonan yang banyak belum menjamin kemenangan; dan

13. Untuk menjaga periuk nasi, mungkin ada calon yang mendapat kuota yang mencukupi untuk bertanding akan bermain wayang dengan menarik diri seperti berlaku dalam pemilihan Puteri tahun 2004.

Jual beli undi

JIKA undi perwakilan boleh dibeli melalui wang atau janji-janji lain seperti jawatan atau kontrak, calon yang mendapat bilangan pencalonan yang banyak belum tentu menang besar juga. Silap-silap mereka tewas.

Ada orang mengatakan politik wang sudah menjadi penyakit maut (terminal) yang tidak boleh diubati lagi.

Mereka berkata dolak-dalik antara Lembaga Disiplin Umno dan Badan Pencegah Rasuah mengenai siapa yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap jenayah ini akan menyebabkan jual beli perwakilan berterusan sehingga hari pengundian.

Oleh kerana rasuah politik boleh menyebabkan pemimpin yang korup dipilih dan rasuah menjadi sebahagian daripada agendanya apabila memerintah kelak maka adalah wajib bagi BPR bertindak keras tanpa mempedulikan wujudnya mekanisme dalaman Umno.

Lagipun bidang kuasa BPR melepasi bidang kuasa mana-mana lembaga disiplin parti.

Doa dan sumpahan

KALAU benarlah Umno sakit tenat dan kita, sebagai orang luar, boleh melakukan beberapa perkara, termasuk:

1. Kita tunggu sehingga pilihan raya umum akan datang dan gunakan 'pangkah' kita untuk menghukum Umno (dan Barisan Nasional) dengan lebih teruk; dan

2. Kita berdoa agar Umno sembuh dengan meminta Allah Taala memusnahkan kuman dan virus yang menyebabkan penyakitnya. Kita selalu diberitahu doa orang yang teraniaya dan tertindas itu diberkati Allah.

Apakah bentuk penganiayaan dan penindasan terhadap rakyat jelata yang lebih besar kalau bukan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menyeleweng?

Satu lagi nostalgia (atau ingatan) saya berlaku pada tahun 1991 apabila saya menunaikan haji. Saya terserempak dengan bekas seorang Menteri Besar yang sedang meningkat naik ketika itu.

Dia orang Umno tetapi saya lihat dia 'dipandu' oleh seorang ulama Pas dalam ibadat itu. Mereka tinggal sebilik.

Apabila dia pulang, tuah politiknya tambah meningkat. Tetapi tidak lama selepas itu dia mula terbabit dengan satu demi satu skandal dan kontroversi sehingga akhirnya dia terpaksa meletakkan semua jawatan politik dan kerajaan. Hanya pada era Abdullah ini sahaja dia 'dipulihkan' dan kini sedang mencuba untuk bertanding salah satu jawatan tertinggi Umno.

Jadi, kalau kita mahu, kita boleh berdoa agar kuman dan virus dalam jasad Umno ini, khasnya dalam kategori perwakilan, sama ada dimusnahkan atau menjalani proses mutasi yang menjadikannya organisma yang berguna atau tidak berbahaya.

Pesanan ulama

PADA 12 November 2003 iaitu 12 hari selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri, Utusan Malaysia menyiarkan rencana saya berjudul 'Abdullah Tiada Kurang Teladan'.

Dalam rencana itu saya memetik dua pesanan Sheikh Abdullah Fahim daripada buku 'Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan' karangan Mokhtar Petah (Pustaka Antara, 1997), yang berbunyi:

1. Bila kita dah merdeka, jangan pula ada pemimpin-pemimpin kita mengaut kekayaan di atas belakang rakyat; dan.

2. Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan berniat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam menjaga tanah air kita.

Akhir kalam, renungkanlah kebenaran nasihat dan amaran Sheikh Abdullah Fahim - "Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan berniat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina."

PS: Sheikh Abdullah Fahim adalah datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi. -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.