BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendakwa ada pihak tertentu yang menggunakan unsur ugutan dan cuba menyekat beliau daripada bertanding merebut jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.
Sambil menyifatkan dirinya sebagai salah seorang mangsa yang cuba disekat dalam pertandingan itu, Muhammad meminta semua pihak agar memberikan peluang kepadanya untuk bertanding.
"Saya yakin daripada apa yang mereka (bahagian-bahagian) perkatakan kepada saya, mereka hendak memberi peluang kepada caloncalon untuk ditonjol bagi jawatan timbalan presiden dan saya harap naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) dan saya diberi peluang.
"Janganlah ada pihak cuba menggunakan taktik yang kurang baik, cuba hendak menghalang...Saya ada pengalaman di beberapa tempat, nampaknya ada yang kena ugut, selepas dicadang satu nama, disokong terus dicalon (dan pencalonan)tutup...ia juga ada menyebut bahawa jagajaga kalau orang ini jadi timbalan, dia dalam bahaya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Muhammad berkata ada juga berita yang disebar oleh pihak-pihak tertentu menyatakan bahawa beliau hendak menarik diri, menyebabkan ada yang berfikir beliau tidak mahu bertanding.
Sementara itu Muhammad melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pembangkang yang berterusan cuba menggagal dan mengelirukan rakyat dengan membuat pelbagai tohmahan terutama dalam isu pembentangan bajet.
Beliau berkata pembangkang cuba mengalih pandangan rakyat selepas mendapati kerajaan berjaya menghadapi situasi ekonomi global dengan bijak seterusnya menampakkan usaha mereka (pembangkang) yang sudah beberapa kali cuba mengambil alih kerajaan semakin gagal.
"Isu sebenar ialah kerajaan dapat menangani beberapa isu besar dan perbelanjaan yang dibuat menguntungkan rakyat, pembangkang nampak jika dibiarkan keadaan ini lama kelamaan kepercayaan rakyat terhadap pembangkang akan berkurangan.
"Oleh itu pembangkang rasa perlu dicari jalan untuk menampakkan kesalahan dari segi teknikal, bukan objektif tetapi kaedah yang diperbesarkan, bagi kita yang penting adalah objektif...perut lebih penting daripada cara nak pakai chopstick (penyepit)atau sudu tetapi mereka lebih mementingkan dengan cara untuk memakai chopstick atau sudu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.