Jimadie Shah Othman
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras yang diasalnya dirancang berkuatkuasa Januari depan.
Menteri Besar Selangor berkata walaupun kerajaan negeri prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol, ia tidak akan mengambil tindakan drastik mengehadkan jualan.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menambah, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan dengan peniaga minuman keras, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan kerajaan berkaitan untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan jualan alkohol.
Rundingan tiga pihak itu dijadual diadakan awal tahun depan, tambahnya.
Dasar membataskan jualan arak di beberapa premis terbuka seperti kedai serbaneka 24 jam dan restoran diputuskan oleh MBSA hujung bulan lepas.
Menurut sumber-sumber PBT itu lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula.
"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.
Bagaimanapun, tambah sumber-sumber, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.