Abdul Rahim Sabri
kemaskini
Kira-kira 20 orang termasuk tiga pemimpin muda Pakatan Rakyat menghantar surat bantahan kepada menteri besar Selangor agar menggugurkan isteri timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak daripada canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).
Mereka dipimpin oleh naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, setiausaha DAP negeri Lau Weng San dan exco penerangan Pemuda PAS negeri Mohd Sany Hamzan.
Kumpulan itu menaikkan kain rentang "Rosmah Out" dan "Unisel gedung ilmu, bukan gedung beli-belah. Rosmah boleh blah" sewaktu menyerahkan surat itu kepada setiausaha politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di bangunan SUK, Shah Alam jam 3 petang.
Dalam surat bantahan itu, mereka mendakwa Rosmah Mansor "tidak memiliki keunggulan keilmuan yang sewajibnya ada pada gedung ilmu."
Selain Khairul Anuar, yang juga ketua AMK Selangor, dan Lau, surat itu ditandatangani oleh ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mukhyi.
Universiti milik penuh kerajaan negeri itu melantik isteri Najib sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.
Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar.
Dalam sidang media sebelum penyerahan surat kepada Nik Nazmi Nik Ahmad, wakil DAP itu berkata rekod pendidikan Rosmah dalam bidang sains "tidak mencukupi" untuk menjadi canselor universiti berbanding rakan-rakan sejawatannya di institusi-institusi pengajian tinggi negara ini.
Khairul Anuar pula berkata Pakatan Rakyat mempunyai tokoh-tokoh intelektual yang mampu mengetuai Unisel seperti timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.
Mohd Sany menyifatkan pelantikan Rosmah oleh menteri besar waktu itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo "satu kesilapan" kerana ia didasarkan pada penilaian bahawa Rosmah isteri timbalan perdana menteri.
Sementara itu, kerajaan Selangor tidak bercadang menggugurkan Rosmah di Unisel seperti desakan Pemuda Pakatan Rakyat, kata Abdul Khalid selepas mesyuarat exco kerajaan negeri petang tadi.
Menurut Bernama, ia masih mengekalkan keputusan lembaga pengarah Unisel yang melantik isteri Najib sebagai canselor institusi pengajian tinggi berkenaan.
Menteri besar itu menambah, beliau akan mengumumkan jika ada sebarang perubahan mengenai pelantikan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.