Sabtu, 29 November 2008

Mawi: Mana bukti saya ahli PKR?

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: "Mana ada? Mana bukti?," begitulah reaksi spontan dari penyanyi popular Mawi ketika diasak dengan pertanyaan benarkah beliau adalah ahli Parti keadilan Rakyat (PKR), seperti yang heboh diperkatakan di sebuah laman web kini.

"Masa bila...?. Lagipun tahun 1999, saya belumpun mendaftar untuk mengundi di SPR. Jadi macam mana saya hendak sertai parti itu?," jelas Mawi menafikan berita yang tersebar di laman web tersebut.

Mawi, yang ditemui di saringan Separuh Akhir Muzik-muzik kategori etnik kreatif di Studio Sri pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam sebentar tadi, terus-terusan menafikan penglibatan beliau dengan parti pembangkang itu.

Kenyataan Mawi ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa beliau pernah bergiat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.

Dakwaan ini dibuat oleh Timbalan Ketua AMK Johor Zabidie Abas di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Zabidie, yang juga pembahas pertama mendakwa bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di Kulai.

Katanya lagi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.

Zabidie sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin yang bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat' dilaporkan berkata:

"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa menampal poster bersama kita."

"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya di hadapan 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.

Namun, menurut Zabidie lagi, nama Mawi tidak ada dalam senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini.

Difahamkan, nama Mawi disebut oleh Zabidiesebagai satu saranan agar PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Lewat petang tadi, Bernama melaporkan bahawa Zabidie pernah cuba memujuk jiran sekampungnya penyanyi Mawi menganggotai PKR tetapi Mawi enggan.

Menurutnya, Mawi memberi alasan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya selain memilih untuk bersikap neutral dalam politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.