Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini meminta Jabatan Peguam Negara memberikan alasan yang konkrit berhubung keputusan mereka tidak akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda pada 31 Oktober lalu daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Gobind berkata, sepanjang pengetahuannya, ketika Jabatan Peguam Negara mendapat fail kes, mereka dikatakan mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Razak yang akhirnya menyebabkan Razak ditahan reman sepanjang perbicaraan.
"Apabila tiba masa pembebasan pada masa ini, tiada alasan konkrit yang diberikan...tiada yang berubah. Jika tiada yang berubah, kami akan tanya kenapa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan yang sebaliknya iaitu rayuan tersebut tidak perlu (dilakukan).
"Ini penting kerana kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara malah daripada masyarkat antarabangsa," katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskanRazak daripada tuduhan tersebut.
Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.
Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi dan akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari tahun depan.
Pada masa yang sama, Gobind yang juga merupakan peguam bela kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu yang dituduh dengan sengaja bersubahat menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas pada November tahun lalu berkata, dakwaan ini merupakan satu lagi tekanan daripada kerajaan negara pusat ke atas wakil rakyat daripada pakatan pembangkang.
Beliau turut mempertikaikan mengapa dakwaan ke atas Liu pada hari ini berubah daripada daripada 'menghalang penjawat awam' kepada 'bersubahat menghalang penjawat awam'.
"Selain itu, mengapa dakwaan ini hanya dibuat selepas setahun ia berlaku sekaligus menunjukkan pasukan polis tidak dapat menyelesaikan satu kes yang mudah dalam masa setahun," katanya.
Gobind berkata, pihaknya akan mencabar keputusan dakwaan ke atas Ronnie pada 10 Februari depan.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tuduhan ke atas Liu sebagai dakwaan politik ketiga selepas tsunami politik berlaku 8 Mac lalu; pertama, tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua, tuduhan menghasut terhadap penulis laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.
Liu hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat menghalang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mohammad Hadzim Zulkapli dalam satu operasi mencegah maksiat di Hotel Chile, No 10, Jalan Kenari 6, Puchong dekat sini pada 2 Nov 2007.
Liu, 50, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.