Rabu, 26 November 2008

Atasi isu pekerja asing

Oleh NIZAM YATIM


KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Malah dengan nada berang, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut menempelak Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.

‘‘Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini.

‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad, sudah bertahun-tahun kementerian itu memaklumkan akan menyelesaikan isu kehadiran ramai pekerja asing tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit dibuat.

Beliau yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat termasuk sembilan tahun sebagai Ahli Parlimen juga kesal kerana sehingga kini tiada sebarang langkah tegas diambil bagi memastikan pekerja rakyat tempatan mendapat gaji munasabah iaitu lebih tinggi berbanding golongan miskin tegar.

Tindakan Mohamad yang berkali-kali meninggikan suara kepada Noraini itu ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahukan sikap sedemikian dihentikan.

Dalam pada itu, Noraini yang menjawab soalan asal Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) menjelaskan, pendapatan purata asas setiap pekerja di negara ini adalah berbeza mengikut sektor dan ia juga berdasarkan proses rundingan antara persatuan majikan dan kesatuan sekerja.

Katanya, pendapatan purata asas adalah sebanyak RM573 sebulan bagi pekerja kedai kopi, RM628 sebulan (pertanian), RM697 sebulan (perhotelan), RM853 sebulan (pasar raya) dan RM952 sebulan (pembinaan).

Sementara itu, sesi soal jawab bertukar suasana kepada ceria apabila Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) yang bangun untuk mengemukakan soalan seterusnya, memaklumkan bahawa hari ini adalah tarikh lahirnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.