Jumaat, 28 November 2008

18 tahun penjara kes dera Nirmala

Hafiz Yatim


Surirumah Yim Pek Ha dihukum 18 tahun penjara selepas didapati bersalah mencederakan dengan parah pembantu rumahnya Nirmala Bonat empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Akhtar Tahir mendapati Yim bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.

Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas, di 33B-26-6 Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun bagi setiap satu kesalahan tersebut, tetapi ia akan berjalan serentak.

Beliau berkata tindakan Yim yang telah mencederakan pembantu warga Indonesia itu dengan sadis tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun.

Akhthar menjelaskan, kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan akibat perbuatannya sendiri.

Yim juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi di tempat yang sama pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004.

Bagaimanapun tuduhan keempat itu tidak dapat dibuktikan.

Surirumah itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, manakala bagi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 325 kanun yang sama, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.