Oleh Mohd Sayuti Omar
SUASANA Parlimen hari ini ( 14 Oktober ) tidak sesesak semasa Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2009, 29 Ogos lalu. Keadaan dan pemerhati sidang Parlimen hari ini biasa saja, walaupun umum sudah tahu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan membentangkan perbahasan Bajet berkenaan. Seolah pembentangan perbahasan oleh bekas Menteri Kewangan itu tidak penting.
Suasana Parlimen lenggang dan banyak ruang yang boleh dimuat. Kawalan keselamatan juga biasa saja tidak ada kawalan tambahan.
Namun apa yang berlaku di dalam Dewan ternyata lebih menarik dan panas daripada ketika Abdullah Ahmad Badawi membentang Bajet tempoh hari.
Ternyata Anwar dapat melakukan kejutan, menghidupkan Parlimen menjadi hangat dan membuat ahli Parlimen BN ternganga mendengar hujah-hujah konkrit yang disampaikan kadang-kadang serius dan kadang penuh jenaka dan simpatis.
Apa yang menariknya, beliau telah meminta Menteri Kewangan membentang Bajet baru kerana Bajet yang dibentang sebelum ini sudah tidak relevan lagi atau lapok ekoran perkembangan ekonomi semasa.
Unjuran pendapatan dan perbelanjaan, angka-angka yang dibentangkan dalam Bajet tempoh hari sudah tidak boleh dipakai.
Alasannya, kata beliau unjuran dibuat menerusi Bajet itu dulu berdasarkan harga minyak semasa yang jauh lebih mahal berbanding sekarang ini.
Ketika Bajet itu dibuat harga minyak melebihi UD125, kini harga minyak turun hingga USD75. Kedudukan harga minyak menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pendapatan negara.
Justeru itu beliau mencadangkan supaya angka itu dipindah ataupun diadakan sebagai menyesuaikan keperluan dengan perbelanjaan dan pendapatan.
Pandangan atau cadangan beliau mendapat sokongan ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang yang bangun beberapa kali meminta agar Bajet dibentang semula ataupun dilakukan pindaan.
Keseluruhan Parlimen hari ini selepas sessi soal jawab dikuasai oleh Pembangkang sepenuhnya baik perbahasan dan juga ruang Parlimen.
Kerusi di blok A kerajaan dan BN banyak yang kosong. Menteri Kewangan baru, Mohd Najib Razak dan menteri-menteri atau timbalan menteri, kecuali Shahrir Abdul Samad yang sepatutnya mendengar perbahasan itu juga tidak ada atau enggan masuk ke dalam dewan bagi mengikut perbahasan Anwar.
Jumlah wakil BN berada dalam Dewan semasa Anwar membentang perbahasan tidak sampai 20 orang. Kebanyakannya berada di luar di cafeteria berbual-bual kosong dan minum.
Hanya dua orang saja ahli Parlimen yang memberanikan diri mencelah minta penjelasan wakil Batu Pahat, Puad Zarkashi dan Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden di mana mereka juga secara tidak langsung menjadi punching beg untuk ditumbuk bertubi-tubi oleh pembangkang.
Ketiadaan ahli Parlimen BN menimbulkan kekecewaan Anwar dan menjadi bahan sindiran pedasnya yang menyifatkan ahli BN itu penakut dan menjadi hamba abdi kepada pemimpin dan tidak sanggup duduk mendengar hujah dan perbahasannya demi rakyat dan negara.
Sehubungan itu beliau mengkritik Abdullah yang hendak melakukan reformasi agar melakukan reformasi ke atas ahli-ahli Parlimen BN yang penakut dan tidak bertanggungjawab!
Bagaimana pun apa yang diperlakukan Anwar hari ini cukup menarik bagi wartawan dan media massa yang selamanya sukakan isu sensasi, berita panas dan hujah yang bernas dan bernilai.
Bagi mereka kemunculan Anwar pertama kali membahas belanjawan selepas 10 tahun meninggalkan Parlimen sesuatu yang ditunggu-tunggu dan tidak sia-sia.
Sebaik sahaja Anwar melangkah keluar Dewan sewaktu berhenti rihat jam 1:00 tengah hari puluhan wartawan dan jurugambar dalam dan luar negeri mengerumuni untuk mendapat komen dan pandangan beliau.
Ketika pembangkang keluar, pintu A laluan keluar menteri dan ahli Parlimen BN langsung tidak menjadi tumpuan wartawan.
Disebelah petang tadi ketika menyambung perbahasan Anwar terus mengemukakan kritikan ke atas beberapa langkah dan tindakan Kerajaan yang diambil menerusi Bajet itu dikira merugikan negara.
Antara yang ditimbul ialah soal kelulusan segera oleh Menteri Pertahanan sebelum bertukar jawatan berhubunng pembelian helikopter dan penjualan saham yang tidak munasabah dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.