Rabu, 29 Oktober 2008

Siswi jawab UPM, dakwa mangsa diskriminasi

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini)


Belum reda isu pembuangan kolej dua mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) - mereka mendakwa layak tinggal di asrama kerana cukup merit tetapi disingkirkan kerana menganggotai Persatuan Mahasiswa Islam (PMI).

"Rakan kami, ketua aras blok Lekir, yang terlibat dalam pengiraan merit memberitahu kami merit kami mencukupi dan masih ada lain yang lebih rendah meritnya tetapi layak untuk tinggal di kolej," kata Nor Farhana Farzieana Azmi (kiri) dan Nur Shafiqa Mohd Ali dalam satu kenyataan bersama.

Tambah mereka, menurut seorang felo blok di Kolej Tun Perak, "merit kami memang mencukupi untuk terus menginap di kolej dan kami diberitahu bahawa kami terpaksa dikeluarkan atas sebab-sebab tertentu iaitu kerana kami merupakan ahli PMI".

Rabu lepas, PMIUPM mendakwa barisan pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa penyingkiran sistematik universiti itu dari kolej-kolej kediaman.

Presidennya Mohd Safwan Ab Ghani berkata, sejak tiga tahun lepas, mereka "dibuang kolej beramai-ramai tanpa sebab yang munasabah."

"Kami tertanya-tanya apakah salah kami sehingga kami dilayan sebegini buruk. Apakah dosa kami sehingga kami dinafikan hak dan didiskriminasikan oleh pihak pengurusan kolej dan universiti."

Nor Farhana Farzieana, seorang exco PMI, dan Nur Shafiqa (kanan), ahli persatuan itu serta bekas exco Majlis Perwakilan Pelajar UPM, yang dibuang pada 15 Oktober, dibenarkan kembali ke kolej seminggu lepas itu.

Kenyataan mereka itu bagi mengulas siaran media UPM minggu lalu berhubung penyingkiran mereka daripada kolej.

Bagi menjawab dakwaan UPM bahawa mereka mendiami secara "tidak sah", pelajar-pelajar itu juga berkata mereka dibenarkan menduduki kolej berkenaan setelah berjumpa dan membuat rayuan dengan seorang pegawai kolej.

"Selepas beberapa minggu, ketua blok Lekir, datang ke bilik dengan membawa buku rekod pelajar, kami diminta untuk mengisi buku tersebut.

"Jadi sepatutnya pihak kolej mengetahui tentang penempatan kami disitu," kata Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa lagi.

Menolak kenyataan ketua bahagian komunikasi korporat UPM Abdullah Arshad pada 22 Oktober yang menyebut dua mahasiswi itu berdegil setelah pemeriksaan dijalankan pada September, mereka menafikan pernah menerima sebarang notis, surat dan peringatan supaya berpindah sehingga beberapa hari sebelum dikenakan tindakan dua minggu lepas.

Abdullah juga menyatakan Kolej Tun Perak diberikan keutamaan kepada pelajar Kor SUKSIS dan pelajar baru, bagaimanapun dua pelajar cemerlang itu menafikannya kerana wujud rakan-rakan mereka yang dibenarkan menetap di asrama tersebut.

Tambahan pula, kata Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa, pendaftaran Kor SUKSIS semakin berkurangan dan pelajar baru sedikit sahaja.

Sambil menyifatkan kenyataan UPM itu "palsu dan berunsur fitnah", mereka juga mendakwa ia "mempunyai banyak paradoks dan fakta yang tidak benar".

Tambah mereka, setelah menghubungi Abdullah dan memintanya membetulkan semula kenyataan media UPM, ketua bahagian komunikasi korporat itu meminta mereka menghantar kronologi kes.

"Malangnya sehingga hari ini (26 Oktober - tarikh kenyataan dua pelajar ini) tidak ada tindakan lanjut dibuat olah pihak universiti," kata mereka.

Dakwa Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa lagi, mereka dimaklumkan pengurusan kolej sendiri yang menyediakan kenyataan media UPM minggu lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.