Selasa, 7 Oktober 2008

Proksi jadikan 'perwakilan serba salah'
Abdul Rahim Sabri


Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin tidak bersetuju amalan proksi diamalkan kerana ia boleh menyebabkan perwakilan serba salah untuk menyokong calon timbalan presiden.

"Ia tidak menepati kehendak parti dan kehendak perwakilan. Kita memilih calon untuk memimpin parti," tambahnya.

"Perwakilan tidak rasa terpaksa menyokong kerana dia (calon) daripada kumpulan tertentu. Pada saya, (amalan itu) tidak betul."

Beliau bersetuju calon-calon yang bertanding jawatan tersebut perlu mengelakkan diri daripada menjadi proksi sebarang pihak.

"Calon yang bertanding (harus) dilihat dari sudut prestasi dan sumbangan kepada parti," kata Zainol kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan ketua bahagian Umno Batu Pahat, Datuk Puad Zarkashi semalam agar calon timbalan presiden perlu mengelakkan diri daripada menjadi proksi pemimpin tertentu.

Beliau berkata jika gejala proksi itu berlaku pada pemilihan Mac tahun depan, ia tidak baik untuk Umno.

Tambahnya, pemimpin yang bertanding jawatan nombor dua Umno, yang secara tradisinya dilantik timbalan perdana menteri, harus mempunyai kredibiliti tersendiri dan tidak bergantung kepada populariti orang atau kumpulan lain.

Ketua bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menyifatkan saranan Puad itu “ada kebenarannya.”

“Pemimpin itu mesti ada kredibiliti sendiri. Pemimpin yang berfikiran terbuka dan tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak,” katanya.

Tambahnya, pemimpin itu mestilah seorang yang disegani dan dihormati oleh ahli-ahli Umno.

Ketua bahagian Umno Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula menyifatkan kewujudan proksi atau pasukan “sesuatu yang tidak dapat dielakkan”.

"(Kita) tidak dapat lari daripada wujudnya pasukan-pasukan tertentu dalam pemilihan. Ia adalah lumrah dalam mana-mana pertandingan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Paling mustahak, jelas Zahidi, pemimpin-pemimpin yang akan dipilih mestilah membawa kebaikan kepada Umno.

"Yang penting, mesti ada pasukan yang kuat untuk memantapkan Umno," katanya.

Setakat ini, tiga pemimpin Umno menawarkan diri untuk merebut jawatan penting tersebut - naib presiden Datuk Seri Mohd Ali Rustam, anggota Majlis Tertinggi (MT) Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan ketua bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mohd Ali juga ketua menteri Melaka, sementara Ahmad Zahid pula seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.