Ng Ling Fong
Pemuda MCA hari ini mahu kedudukan dominan Umno dalam Barisan Nasional dikaji semula.
Ketika membuat gesaan tersebut, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai berkata, ini boleh dilakukan dengan menambah satu lagi jawatan timbalan pengerusi BN.
Pada masa ini, pengerusi Dewan Tertinggi BN ialah presiden Umno yang juga perdana menteri.
Manakala, kini hanya ada satu sahaja jawatan timbalan pengerusi BN, yang juga disandangkan timbalan presiden Umno.
Jawatan-jawatan utama yang lain seperti setiausaha agung, ketua Pemuda dan ketua Wanita turut dibolot oleh Umno.
Liow menyarankan, jawatan timbalan tambahan itu disandang oleh wakil dari MCA, sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN.
Liow menyarankan demikian ketika berucap di perhimpunan agung Pemuda MCA ke-45, di ibunegara hari ini.
Liow tidak bertanding jawatannya kali ini dan ketua baru Pemuda MCA ialah Datuk Wee Ka Siong.
Liow yang sebelum itu berucap dalam bahasa Mandarin, kemudiannya mengulangi gesaaannya itu dalam bahasa Malaysia.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naibnya, Khairy Jamaluddin.
Tindakan Liow dilihat satu langkah ketelusan kerana perkara itu tidak disebut langsung dalam teks asalnya dalam Bahasa Malaysia yang diedarkan kepada pihak media.
Menurut Liow lagi, sekiranya tidak ada MCA, maka tidak akan ada gabungan Perikatan yang dianggota oleh tiga parti - Umno, MIC dan MCA.
Jika tiada Periktan, katanya, maka tiadalah wujud BN hari ini
"Oleh itu, MCA sepatutnyalah memegang jawatan timbalan presiden BN
"Malah, setiausaha, bendahari BN boleh disandang oleh anggota dari parti komponen lain, tidak semestinya dari Umno sahaja," katanya.
Selain meminta proses pembuat keputusan distruktur semula, beliau juga menyarankan agar sumber-sumber BN supaya diagih secara sama rata.
"Dulu Umno mendominasi semua sumber BN, dari peringkat pusat hingga bahagian, ini perlu dibawa untuk berbincang dalam agenda BN.
"Hanya dengan itu, Rakyat akan melihat bahawa BN komited dan bersedia untuk berubah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.