Jumaat, 17 Oktober 2008

Pas sifatkan Bajet 2009 kacau bilau

SINAR HARIAN


MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Bajet 2009 yang dibentangkan kerajaan pada Ogos lalu sebagai bajet ‘kacau bilau’, agak menggelabah dan tidak kena pada masanya.

Menurut Abdul Hadi, bajet itu seolah-olah dibuat dan dikemukakan dengan cara tergesa-gesa, ketika dunia berhadapan amaran krisis makanan dan diikuti dengan krisis harga minyak serta kini mengalami krisis kewangan.

“Perkembangan semasa ini sudah tentu menyebabkan angka akan berubah. Apabila angka berubah, banyak perkara yang tidak relevan akan berlaku.

“Sama ada pihak pemerintah mahu meminda balik atau tidak, kerajaan mestilah terpaksa memikul beban yang berat dalam mengemukakan bekalan tambahan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

“Ini sudah tentu akan memberi kesan sedikit sebanyak kepada perjalanan melaksanakan bajet itu sendiri. Pada saya, bajet ini bukan sekadar angka dan jumlah, yang penting adalah pelaksanaan dan mekanisme yang direalisasikan serta matlamat bajet itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di kediamannya di Rusila, di sini, semalam.

Menurut Abdul Hadi, perancangan bajet kadang-kadang dipengaruhi oleh sentimen politik, sehingga ia membantutkan pelaksanaan belanjawan itu sendiri sedangkan banyak lagi hal lain yang perlu difikirkan.

“Sebagai contoh, dalam membasmi kemiskinan, kita patut keluarkan data dan senaraikan orang miskin yang benar-benar layak serta tidak layak selain yang dapat dipulihkan dan tidak dapat dipulihkan, baru kita sediakan duit.

“Tapi, kita sediakan duit terlebih dahulu sedangkan jumlah sebenar orang miskin kita tidak tahu. Inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan mengisytiharkan pertubuhan Hindu Rights Actions Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang sebagai silap.

“Kerajaan silap dalam menangani masalah Hindraf sejak dari awal lagi.

“Jika kita baca dan lihat daripada awal lagi, Hindraf membuat tuntutan daripada kerajaan British, bukannya kerajaan Malaysia kerana kerajaan British telah menyalahgunakan buruh India yang dibawa ke Tanah Melayu.

“Apa salahnya jika mereka melakukan protes. Di England sendiri, protes dan demonstrasi dibenarkan, mereka hanya kawal sahaja, asalkan tidak merosakkan kemudahan awam.

“Ini kita (di Malaysia), dicantas. Ini yang berlaku dan ia adalah kesilapan sejak awal. Saya juga tidak setuju keganasan dan tidak setuju berlakunya pergaduhan. Tapi saya merasakan kerajaan silap dalam menanganinya,” jelasnya.

Menurut Abdul Hadi, beliau melihat pengharaman Hindraf itu lebih kepada agenda politik kerana sekurang-kurangnya, ia boleh menenggelamkan berita kekecohan yang kini berlaku dalam UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.