SIASAH DAILY
KUALA LUMPUR : Mulai November ini, Pusat Tarbiyah PAS Taman Melewar akan dihidupkan sepenuhnya dengan kuliah-kuliah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan merasmikannya pada 3 November ini.
Kuliah yang akan diadakan selepas solat Maghrib itu akan diadakan hampir setiap malam di Dewan Besar Datuk Fadzil Noor bermula tarikh tersebut.
Menurut jadual kuliah yang diedarkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS, sepanjang November ini, sebanyak 20 kuliah akan diadakan di situ.
Ia membabitkan para guru dari PAS dan juga pengkuliah profesional dari luar.
Pada 3 November ini, bekas pensyarah Universiti Malaya yang kini adalah Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfudz Muhamad akan memberikan kuliah mengenai Qanun Jenayah Syariah.
Turut terlibat memberikan kuliah sepanjang bulan November adalah hampir 20 orang lagi guru yang memberikan kuliah untuk pelbagai topik dari aqidah sehinggalah muamalat.
Sejak berpindah ke pejabat baru di Jalan Raja Laut, bekas pejabat agung PAS itu dilihat sepi dan kosong dari aktiviti.
Ekoran itu, pelbagai kritikan dibuat terhadap PAS kerana membiarkan kemudahan yang sudah sedia ada dalam PAS itu.
Ekoran itu, Lajnah Tarbiyah PAS dikatakan diberi amanah untuk menghidupkannya dengan kelas-kelas pengajian secara yang sistematik.
Di samping itu, Siasah difahamkan, tanah milik PAS itu akan dibangunkan dengan bangunan-bangunan selepas ini di samping mengekalkan fungsinya sebagai markas tarbiyah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.