Rabu, 22 Oktober 2008

Mahathir, Najib mencipta masalah dalam Umno

Safar Jumaat


KETIKA kebimbangan mendatangi Dr Mahathir Mohamad, dengan membuat dakwaan mengatakan ada orang Umno cuba menyekat kemaraan Najib Tun Razak untuk jadi PM (lihat Harakah Bil 1383 20-23 Oktober 2008), tidak ramai yang ingat, dialah orangnya yang 'menyebabkan Najib sampai hari ini masih belum menjamah kerusi Perdana Menteri.

Disebabkan Dr Mahathir berkeyakinan penuh, orang-orang Melayu (dalam Umno) mudah lupa, maka, ayat itu keluar dari mulutnya sedangkan sepatutnya, orang-orang yang menyokong Najiblah sepatutnya mengatakan, "Dr Mahathirlah orangnya yang menyebabkan Najib tidak jadi PM."

Apa tidaknya, ketika Najib tidak pernah tewas dalam semua pertandingan Umno, sedangkan Abdullah Ahmad Badawi gagal mempertahankan kerusi Naib Presiden Umno dalam tahun 1993, akibat serangan 'team wawasan' yang diketuai Anwar Ibrahim, - apabila berlaku kekosongan kerusi Timbalan Perdana Menteri, ekoran pemecatan Anwar, Dr Mahathir melantik Abdullah yang baru sahaja menang semula kerusi Naib Presiden, itupun, di belakang Najib.

Kebiasannya, penyandang kerusi Naib Presiden ketiga, lebih beruntung dari penyandang kerusi nombor satu dan dua, tetapi ketika Dr Mahathir melantik Anwar, Anwar adalah Naib Presiden nombor satu, manakala Abdullah dan Sanusi Junid, Naib Presiden nombor dua dan tiga.

Ketika itu, ramai juga meramalkan Dr Mahathir akan melantik Sanusi sebagai timbalannya, tetapi disebabkan Sanusi juga dating dari Kedah, di mana negeri itu juga datangnya Dr Mahathir, maka Dr Mahathir menamakan Anwar.

Ramai juga yang menjangkakan, Abdullah memang patutnya diketepikan dari kerusi Naib Presiden, kerana kenaikkan Anwar dalam hirarki Umno, sekaligus akan mengenepikan peluang Abdullah yang kebetulan, dating dari Pulau Pinang, di negeri di mana datangnya Anwar

Seperti satu kebetulan, apabila Dr Mahathir tidak mahukan Anwar, diambilnya Abdullah, yang satu negeri dengan Anwar.

Samalah seperti apa yang dilakukan Tun Razak Hussein, apabila Tun Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia. Razak melantik Hussein Onn, orang dari Johor bagi menggantikan Dr Ismail yang juga dari Johor.

Ini hanya kebetulan dan tidak menjadi undang-undang atau syarat perlantikan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Justeru, pemecatan Anwar dari Umno dan kerajaan, sepatutnya tempatnya diisi Najib tetapi disebabkan Dr Mahathir mungkin mahukan orang Pulau Pinang mengantikan Anwar, maka Abdullah dinamakannya.

Padahal ketika itu, Najib adalah Naib Presiden yang paling kanan dan tidak pernah kalah, sedangkan Abdullah, menduduki kerusi nombor dua, dan baru sahaja kalah, dalam pertandingan sebelum itu.

Dari sudut ini, Dr Mahathirlah yang menyekat peluang Najib dan bukan orang lain.

Bayangkan kalau Abdullah tidak menamakan Najib sebagai timbalannya sebaik sahaja menggantikan Dr Mahathir dalam tahun 2003, bukan sahaja Najib terkeluar malahan, tidak mustahil, Najib sudah tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan dan parti, sekarang.

Satu kelebihan Dr Mahathir, setiap tulisan dan percakapannya, seolah-olah dia tidak pernah buat silap dan salah selama dia menjadi Perdana Menteri.

Dia pernah memainkan peranan memenangkan seseorang yang disukainya dan dia juga pernah memainkan peranan untuk mengalahkan seseorang yang dibencinya.

Namun, masing-masing bergaduh sama-sama sendiri, Dr Mahathir tidak dipersalahkan.

Ketika Dr Mahathir 'menyokong' Musa Hitam dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno dalam tahun 1981, Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan Naib Presiden kanan ketika itu, betul-betul teraniaya.

Bila Tengku Razaleigh tewas, Dr Mahathir masih mengekalkannya dalam kabinet, sedangkan dia tahu, langkahnya itu menyulitkan Musa.

Tengku Razaleigh berterusan 'bergaduh' dengan Musa, tetapi Dr Mahathir tidak dilihat sebagai puncanya.

Apabila Tengku Razaleigh melawannya (Dr Mahathir), selepas dua kali tewas di tangan Musa, Tengku Razaleigh dianggap tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri dan pelbagai gambaran buruk disaluti ke batang tubuh Tengku Razaleigh.

Begitu juga Musa, apabila dia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, akhirnya citranya diburuk-burukkan. Bukan oleh Dr Mahathir sahaja, malahan, seluruh jentera kerajaan menjalankan tugas merosakkan Musa.

Akhirnya Musa tewas di tangan Ghafar Baba dalam usahanya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden.

Inilah kelebihan Dr Mahathir, ketika dia 'melakukan halangan' untuk Najib menjadi Perdana Menteri dengan melantik Abdullah, dia masih boleh bercakap bahawa ada orang Umno yang lain (Dr Mahathir sudah keluar dari Umno) menyekat Najib.

Dalam suasana politik yang tidak menyebelahi Abdullah sekarang, orang mempercayai apa-apa sahaja yang buruk mengenai Abdullah. Jika berlaku kerugian dalam industri Proton, Abdullah dipersalahkan. Jika ekonomi negara buruk, itu kelemahan Abdullah.

Jika saham merudum, Abdullah dikatakan gagal - sedangkan Dr Mahathir meninggalkan 'corak dan sistem' yang sudah rosak teruk, yang tidak termampu Abdullah memperbaikinya dalam masa yang singkat. Kebetulan, Abdullah memang kurang cekap.

Sebenarnya, setiap kali berlaku pertembungan seperti ini, walaupun atas nama pelan peralihan kuasa atau pertandingan merebut jawatan, Umno terpaksa mengakui mereka akan kehilangan beberapa 'potensi'.

Ketika Tengku Razaleigh tewas, orang-orangnya termasuk Rais Yatim, Manan Osman dan Marina Yusof terkorban walaupun Rais berjaya dikitar semula.

Ketika Musa berbalah dengan Dr Mahathir, Shahrir Samad dan Ajib Ahmad 'terkorban' hingga Umno Johor terpaksa merelakan Mohamed Rahmat dan Mustaffa Mohamed sahaja menjadi Menteri dalam kabinet Dr Mahathir.

Ketika Anwar bermasalah dengan Dr Mahathir, Zahid Hamidi, Rahim Ghaouse, Saifuddin Nasution dan Mohd Ezam Mohd Nor 'terkorban'.

Dr Mahathir ingat ini semua, kerana dia mungkin jenis Melayu yang mudah lupa tetapi, sekat Najib untuk jadi PM sebenarnya tidak boleh dilakukan oleh orang-orang di bawah, kecuali atas permintaan Dr Mahathir yang Abdullah rasakan masih mahu dan berminat menjadi 'pengarah pemilihan Umno' dalam musim ini.

Memetik kata-kata Dr Mahathir, bukan pembangkang, tetapi golongan tertentu di dalam Umno sendiri yang kini sedang berusaha untuk menghalang Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno.

Ketika mendedahkan perkara ini, Dr Mahathir menyifatkan apa yang dihadapi Najib itu sama dengan pengalaman dia sendiri yang pernah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan setelah bersara, Oktober 2003 untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya.

Dalam perkembangan yang sama, ada pula pihak mendakwa, pihak yang menyekat Najib adalah dirinya sendiri selain isterinya.

Dakwaan-dakwaan kebelakangan ini terhadap kegelojohan Najib meluluskan projek besar bernilai RM11.31 billion sebaik sahaja menjadi Menteri Kewangan tanpa melalui proses tender dan isu pembelian Eurocopter, sebenarnya adalah 'langkah menyekat' dirinya sendiri untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan, ada dakwaan mengatakan isterinya berbelanja berjuta-juta ringgit di luar Negara juga menjadi bahan perbualan, yang sedikit sebanyak menjadi 'penyekat' kemaraannya ke kerusi Perdana Menteri, selain dakwaan mengaitkan mereka suami isteri dengan kes wanita Mongolia. - mr

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.