Ditulis oleh SM Noor
Kuala Terengganu - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob berkata, pihaknya telah menghantar beberapa pucuk surat kepada kerajaan dan Pemuda UMNO bagi membincangkan masalah sosial yang kini menjadi isu nasional, namun tidak mendapat sebarang respon.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah sosial yang semakin parah melanda khususnya di negeri ini dimana statistik jenayah menunjukkan Terengganu negeri paling tinggi berlaku kejadian rogol dan zina bawah umur.
Beliau turut mendesak kerajaan supaya satu pelan bertindak lebih komprehensif diwujudkan dalam usaha menyelesaikan masalah sosial yang semakin serius di kalangan remaja di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata dalam keadaan zaman yang telah berubah, semua pihak perlu melihat secara holistik tentang pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan terhadap remaja sekarang.
“Program-program perlu dilihat di samping pendekatan baru dan ini semua wajar kita fikirkan bersama. Saya lihat hiburan semata-mata yang dibuat Barisan Nasional (BN) telah menjadikan keadaan seperti ini berlaku.
“Pergaulan bebas, penyebaran bahan-bahan lucah secara tidak terkawal dan ini semua merupakan faktor utama yang harus kita fikir bersama agar masalah sosial remaja dapat diatasi demi masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan HIMPIT 2008.
“Saya harap semua pihak dapat memberi komitmen untuk kita fikirkan perkara ini demi masa depan remaja kita,” katanya
Pada bulan ini sahaja (Oktober) pelbagai kejadian masalah sosial dilaporkan oleh media di negeri Terengganu, termasuk perbuatan lucah, klip video lucah pelajar sekolah, merogol dan cubaan merogol.
Seawal 2 Oktober, sewaktu bulan Ramadhan, seorang adik telah menendang bahagian kemaluan abangnya dan berjaya menyelamatkan maruahnya dari dicabul di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu.
Rakyat Terengganu pada 14 oktober lalu telah dikejutkan dengan tindakan seorang remaja wanita 21 tahun yang telah merendam bayi yang baru dilahirkannya dalam baldi, sebelum mencampakkan bayi tersebut di kawasan masjid ‘Terapung’, Kuala Ibai.
Sebelumnya, pada 10 oktober, seorang remaja wanita yang sedang menonton televisyen di rumahnya terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki telah menceroboh masuk ke dalam rumahnya dan tanpa segan silu terus menunjukkan alat sulitnya ke arah mangsa.
Adegan tidak senonoh itu berlaku ketika remaja berusia 17 tahun itu hanya tinggal seorang diri di rumah keluarganya di Rumah Awam Kos Rendah Tok Randuk, Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 8.30 malam.
Pada 16 Oktober, seorang warga emas berusia 66 tahun telah dicekup Pegawai Agama Daerah Besut, Nik Zulhaiza Ismail selepas dipercayai berasmara termasuk melakukakn ‘seks oral’ dengan seorang remaja wanita berusia 25 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Keruak, Hulu Besut.
Pada 21 Oktober, media melaporkan Klip video berjudul 'Tayangan Perdana' menggemparkan masyarakat kerana melibatkan seorang pelajar perempuan yang selama ini dianggap berakhlak.
Paling mengejutkan, aksi ghairah itu dirakam oleh seorang remaja lelaki menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah kelas kosong di sekolah itu.
Pada 21 Oktober lalu, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merogol anak tirinya yang berumur 17 tahun dalam kejadian di Kampung Che Lijah, Dungun, semalam.
Tangkapan dilakukan selepas mangsa mengadu lelaki berumur 36 tahun itu merogolnya dalam semak ketika diajak oleh bapa tirinya untuk menemaninya ke rumah kawan untuk mengambil motosikal yang baru dibeli, Ahad lalu.
Pada 26 Oktober, polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun kerana disyaki merogol seorang pelajar sekolah di sebuah rumah kosong di Ajil, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah 1 negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, tangkapan itu dilakukan selepas mangsa mengadu teman lelakinya dan lapan lagi lelaki yang dikenali merogolnya secara bergilir-gilir di rumah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.