Umno akan dilupakan – Muhyiddin
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meningkatkan lagi serangannya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menyifatkan pelan peralihan kuasa yang dikehendaki oleh Abdullah bercanggah dengan perlembagaan Umno.
Naib Presiden Umno itu mengulangi penegasannya bahawa ahli-ahli Umnolah yang sepatutnya menentukan kepimpinan masa hadapan parti itu di dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat bahagian yang akan bermula bulan hadapan.
"Apa yang dipersetujui hanyalah konvensyen. Tidak ada peruntukan sedemikian dalam perlembagaan (Umno)," AFP memetik beliau. "Kami tidak memilih dengan cara yang bertentangan dengan perlembagaan, kami memilih pemimpin berdasarkan prosedur".
Agensi berita itu juga melaporkan Muhyiddin memberi amaran bahawa Umno dan Barisan Nasional akan dilupakan sama sekali dalam pilihan raya akan datang jika reformasi dalaman tidak dilaksanakan.
Barisan Nasional dianggap tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja lagi sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan kebangkitan pembangkang mencipta kemenangan yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Muhyiddin, yang menuntut Abdullah berundur sebelum 2010, mahu Umno menangani konflik dalamannya selain mematahkan ancaman pembangkang.
Abdullah pula mahu rakan-rakannya membiarkan beliau terus berkuasa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sehingga pertengahan 2010.
"Apa yang berlaku sangat serius. Ia bukan sahaja membimbangkan ahli-ahli Umno sahaja malah negara keseluruhannya, Barisan Nasional dan rakyat yang mengambil berat tentang apa yang berlaku ke atas kerajaan," katanya.
"Jika tidak ada apa-apa yang berlaku, saya tidak lagi pasti adakah jangka hayat Barisan Nasional, terutama Umno, akan dapat bertahan selepas 2013," katanya, merujuk kepada jangkaan pilihan raya yang akan datang.
Abdullah mengetepikan gesaan-gesaan supaya beliau berundur walaupun berhadapan dengan kritikan dari ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) sendiri.
Krisis keyakinan terhadapnya di dalam dan di luar parti, janji-jani yang dikhianati dan tidak ditunaikan, inflasi yang semakin meningkat dan ekonomi yang luar biasa lembab tidak lagi menjadi perkiraan Abdullah setelah beliau dilaporkan telah diyakinkan oleh menantunya dan pengikut-pengikut yang bergantung nasib kepadanya bahawa beliau boleh mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.