Teresa anggap kejadian baling bom petrol untuk menakutkannya
BERNAMA
KUALA LUMPUR — Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengganggap kejadian membaling bom molotov cocktail di rumah ibu bapanya di Jalan Ipoh di sini ,bertujuan untuk menakut-nakutkan dirinya dan menghalangnya daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.
“Mungkin tindakan ini berpunca dari perasaan dendam terhadap saya dan keluarga selepas media dan blog tertentu menghina dan menggambarkan saya sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan bersifat perkauman, dengan mereka-reka cerita yang palsu, sebelum dan selepas saya ditahan di bawah akta ISA,” katanya.
Teresa ditahan di bawah ISA pada pada 12 September dan dibebaskan selepas seminggu disiasat.
Laporan polis telah dibuat bagi meminta siasatan segera dijalankan, agar mereka yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan, kata Teresa pada sidang media di rumah ibu bapanya di Taman Rainbow.
Sidang media itu turut dihadiri Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan wakil PAS. Teresa berkata, dengan adanya ancaman itu, beliau berharap polis dapat menjamin keselamatan beliau dan juga keluarganya yang kini jelas terancam.
Lim Kit Siang berkata DAP akan berjumpa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dalam waktu terdekat bagi memastikan keselamatan Teresa sekeluarga selamat dan terjamin.
Bapa Teresa, Kok Kim Tong, 74, berkata kejadian tersebut berlaku pada 3 pagi apabila anak lelakinya yang sedang melayari internet terlihat seorang lelaki menaiki motosikal membaling sesuatu ke rumah mereka.
“Setelah diperiksa, terdapat dua molotov cocktail, dan salah satunya pecah. Tapi mujur tak meletup,” katanya yang memberitahu, ketika kejadian terdapat tujuh orang di dalam rumah tersebut.
“Kami juga menemui satu nota berunsur ugutan yang dilipat-lipat lalu kami segera membuat laporan polis pada pukul 4 pagi,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang dihubungi berkata Polis akan segera menyiasat bagi menjejaki individu yang terbabit dalam kejadian yang mengancam nyawa ini.
Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 502 iaitu ugutan jenayah, katanya
Pemangku Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengutuk tindakan penjenayah yang melakukan perbuatan itu dan meminta polis dan kerajaan segera menyiasat kes tersebut, agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Ini kali kedua perkara sama berlaku kurang dari dua bulan. Sebelum ini, bekas rumah Presiden Majlis Peguam, S. Ambiga juga dibaling molotov cocktail,” katanya
Katanya, sesiapa yang tidak setuju dengan dengan pendekatan Teresa, mereka harus menyatakan pandangan mereka dan harus berani untuk mengadakan perdebatan secara aman dan sekiranya mereka rasa tindakan beliau adalah salah, biar undang-undang yang menentukannya.
Koh berkata sebarang kekerasan atau perkara yang menyalahi undang-undang akan menyebabkan ekonomi negara semakin merosot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.