Singapura bebas 5 tahanan ISA
Agensi
SINGAPURA: Lima anggota Jemaah Islamiah (JI) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah dibebaskan selepas Perintah Tahanan (OD) ke atas mereka tamat baru-baru ini.
Kelima-limanya, bagaimanapun, akan terus diletakkan di bawah pengawasan dan dikenakan perintah sekatan (RO).
Tiga adik-beradik - Muhd Ismail Anuwarul, Abdul Rashid Anwarul dan Abdul Nassir Anwarul - dibebaskan pada 28 Mac lalu, manakala Ab Wahab Ahmad dan Sanin Riffin dibebaskan Ahad lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam, perintah tahanan tidak dilanjutkan ke atas mereka kerana ia dianggap tidak lagi diperlukan.
Ini kerana mereka dinilai dan tidak lagi dilihat sebagai ancaman pada keselamatan.
Kenyataan itu turut menyebut mereka memberi kerjasama dalam siasatan dan menunjukkan kemajuan dalam proses pemulihan, termasuk kaunseling keagamaan.
Muhd Ismail, Abdul Rashid dan Abdul Nassir ditahan di bawah ISA pada Mac 2006. Mereka ialah anggota rangkaian JI Malaysia dan diberkas di negara itu.
Ketiga-tiganya kemudian ditahan di sini di bawah ISA, sejurus selepas dihantar pulang ke Singapura.
Sementara itu, Ab Wahab dan Sanin ialah anggota rangkaian JI Singapura dan ditahan di bawah ISA sejak September 2002. Sepanjang tahun ini, lima orang tahanan di bawah ISA telah dibebaskan.
Pada 10 Februari lalu, Anis Mohamad Mansor dibebaskan dan diletak di bawah RO apabila perintah OD ke atasnya .
Awal Januari lalu pula, Adnan Musa, Fathi Abu Bakar Bafana, Halim Hussain dan Mohamad Anuar Margono pula dibebaskan setelah ditahan sejak Januari 2002.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.