Sapp putuskan status dalam BN Rabu ini
MSTAR ONLINE
(Dikemas kini)
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah, yang mencetuskan kontroversi dengan mengisytiharkan ia sudah tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri lebih tiga bulan yang lalu, akan memutuskan Rabu ini tentang statusnya dalam Barisan Nasional (BN).
Ia dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Yong Teck Lee di sini hari ini.
Yong berkata, mesyuarat minggu depan akan memperjelaskan segala kemusykilan tentang status parti tersebut dalam BN.
"Ia sama ada yang itu (keluar) ataupun kami akan menyerahkan keputusan mengenai status kami kepada Barisan," kata beliau kepada pemberita di sini.
BN sepatutnya memutuskan kedudukan Sapp dalam mesyuaratnya awal bulan lalu tetapi ditangguhkan.
Pada 6 Ogos lalu, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa ia akan mengkaji dan memperhalusi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Sapp dalam surat tunjuk sebabnya sebelum membuat keputusan seterusnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketetapan akan dibuat selepas proses kajian dijalankan dan sama ada wajar atau tidak untuk memberikan respons kepada Sapp.
"Jawatankuasa telah mengesyorkan kepada Majlis Tertinggi (BN) perkara-perkara yang dibangkitkan akan dikaji dan dihalusi secara mendalam," kata beliau.
Pada akhir Jun lalu, BN mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Sapp bagi mendapatkan penjelasan berhubung pendirian parti itu menyokong usul tidak percaya terhadap Abdullah.
Dalam jawapan bertarikh 30 Julai, Sapp juga menggesa kepimpinan BN untuk meneliti sebab-sebab kenapa parti itu akan menyokong usul seperti itu.
Di antara permintaan yang dibuat oleh parti itu dalam deklarasi lapan perkara yang diputuskan Majlis Tertingginya ialah Sabah memiliki autonomi politik, peningkatan 20 peratus bagi royalti petroleum, Wilayah Persekutuan Labuan dipulangkan kepada Sabah dan ditadbir sebagai wilayah khas.
SAPP menyertai BN pada 1994.
Parti itu mempunyai dua anggota di Dewan Rakyat dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah termasuk kedudukan Timbalan Ketua Menteri yang dipegang oleh Datuk Raymond Tan, yang sebelum ini menentang undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.