Rundingan dengan lanun lancar - MISC
BERNAMA
KUALA LUMPUR . - Rundingan dengan lanun yang merampas kapal MT Bunga Melati Dua dan MT Bunga Melati Lima berjalan dengan lancar dan semua krew kapal berkenaan berada dalam keadaan baik.
MISC dalam kenyataan hari ini berkata, bekalan makanan dan air di atas kapal itu mencukupi dengan bekalan makanan dibawa dari daratan oleh lanun berkenaan.
"Tidak wujud keadaan kekurangan makanan dan laporan kekurangan makanan hanya merupakan taktik yang digunakan oleh perampas untuk menjejaskan rundingan.
''Demi untuk melindungi keselamatan anak kapal kami dan menjaga kesejahteraan keluarga mereka, MISC tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai rundingan itu,'' kata kenyataan itu.
Kapal milik MISC, MT Bunga Melati Dua dengan 39 anak kapal — 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen pada 19 Ogos. Seorang daripada anak kapal warga Filipina itu terbunuh akibat terkena sebutir peluru yang tersasar.
Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal MISC, MT Bunga Melati lima, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama semasa dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.
Malaysia telah menghantar dua buah kapal perang, KD Lekiu dan KD Inderapura, dan sebuah kapal peronda pesisir pantai, KD Pahang untuk melindungi kapal-kapal MISC yang melalui perairan itu ekoran kejadian rampasan MT Bunga Melati Dua dan MT Bunga Melati Lima.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.