Sabtu, 27 September 2008

Mukhriz: Tunda pemilihan beri impak negatif
BERNAMA


TEMERLOH: Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menangguhkan Perhimpunan Agung parti yang dijadual Disember ini ke Mac depan yang dilihatnya memberi impak negatif.

Beliau berkata, tindakan MT itu menyebabkan anggota Umno menjadi semakin bosan dengan kepimpinan parti kerana bagi mereka tidak ada keperluan munasabah Perhimpunan Agung Umno perlu ditangguhkan.

Katanya, beliau sendiri tidak faham kenapa penangguhan itu perlu dilakukan dan ia tentunya akan memberikan gambaran yang tidak sihat serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota akar umbi.

"Daripada maklum balas yang saya terima dari seluruh negara, penangguhan Perhimpunan Agung Umno itu memberikan impak negatif dan ramai yang mahu supaya MT membatalkan penangguhan tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Umno Bahagian Temerloh dan Kuala Krau di sini.

Mukhriz berkata, penangguhan yang mengambil masa hanya tiga bulan dari tarikh asal itu juga tidak relevan dan tidak memberikan sebarang kelebihan dalam menguatkan semula parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.