Isnin, 15 September 2008

ISA tidak diperlukan untuk bela Islam - Mufti Perlis
Suhaimi


PETALING JAYA- MStar melaporkan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini menegur tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam isu agama dan mengheret pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok ke bawah peruntukan akta itu.

Ketika ditemui di Damansara sebentar tadi, Dr Asri berkata, Islam dibina dari hujah dan dasar yang jelas, dan Islam juga tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya.

"Jadi tidak ada alasan untuk menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu mempunyai kesalahan dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama.

"Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salah faham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu. Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis.

"Perlu diperdengarkan pertuduhan itu kepada orang yang dituduh itu. Mungkin juga, ia hanya satu salah faham. Yang penting perdengarkan dulu hujahnya," kata Mufti yang terkenal dengan kelantangannya mengeluarkan idea yang berani dan telus itu.

Kata Dr Asri lagi, "Islam bukan agama yang bacul. Perbuatan ISA kerana kesalahan agama seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang. Mereka akan kata mereka benar kerana kita takut berhujah dengan dia."

Beliau juga turut mengingatkan betapa bahayanya tindakan ISA.

"Sekiranya ada aliran-aliran tertentu dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pendapat satu aliran yang lain, adakah ruang ISA juga akan digunakan? Pernah berlaku dalam kerajaan Abbasiyah yang berpegang pada aliran Muktazilah ketika itu. Dia menghukum orang daripada aliran lain termasuk Imam-imam besar seperti Imam Ahmad juga turut dihukum.

"Kalau di zaman ini, mereka yang kendalikan agama itu dari aliran lain maka mereka yang dari aliran lain itu akan dihukum tanpa memberi peluang membela diri. Ini juga tidak sejajar dengan konsep keadilan dalam Islam," kata Dr Asri lagi.

Dari segi politik Islam atau siasah, kata beliau, kerajaan berhak menahan orang dan beri tempoh siasatan (14 hingga 30 hari) bergantung pada keperluan. Tapi kita tidak boleh hukum 2 tahun tanpa diadili. Ini zalim.

"Tuhan yang Maha Adil pun buat mahkamah di akhirat untuk setiap orang dibicarakan.

Keadilan ditegakkan di dunia dan di akhirat. Tuhan yang Maha Adilpun memberi peluang untuk kita jawab kesalahan sedangkan Tuhan berhak buat apa saja. Jadi macam mana kita boleh tangkap orang tanpa memberi peluang mereka membela diri?" jelas beliau.

Kata Dr Asri, isu agama turut membabitkan sensitiviti agama lain. Tapi dari segi mempersoalkan identiti Islam seperti laungan azan, itu tidak boleh.

"Namun jika ada sungutan tentang bacaan-bacaan yang panjang sehingga menganggu orang awam, ulamak Islam juga tidak benarkan. Bacaan yang kuat tanpa keperluan atau kuliah agama dengan menggunakan pembesar suara sehingga menganggu ketenteraman awam, itu tidak perlu. Itu sudah diputuskan oleh ulamak-ulamak dari dulu lagi.

"Agama itu terhad. Azan itu azan. Begitu juga kuliah agama untuk diperdengarkan melalui pembesar suara, berpada untuk sidang yang mendengar sahaja," jelasnya.

Dr Asri juga menyentuh tentang peranan Jakim.

"Jakim berperanan menjelaskan isu-isu agama dan juga yang menyeleweng dari agama. Bukan sekadar menyokong seseorang dihadapkan tanpa bicara. Badan itu juga hendaklah bebas dari percaturan politik. Perjelaskan ketentuan peruntukan orang yang menghina Islam seperti isu Raja Petra. Itu bersifat politik, biarlah diuruskan oleh orang politik.

"Kalau hendak diikutkan yang menghina Islam, ramai lagi yang patut dibuat aduan.Jelaskan dulu apa yang perlu dilakukan?" soal Dr Asri.

Beliau juga meminta kerajaan memikirkan soal ISA ini sedalam-dalamnya.

"Seandainya satu hari nanti kerajaan bertukar rupa dan kalau berlaku pertukaran kuasa. Terlalu ramai nanti yang tidak boleh bersuara dan ISA mungkin diguna seluas-luasnya. Besok, bila kena pada kita, apa kita nak buat?" kata Dr Asri yang akan menghadiri Tazkirah Tarawih di Stadium Kota Bharu pada hari ini.

Beliau yang juga akan memberi ceramah di Kompleks Islam Lundang esok, sempena pelancaran Tabung Serambi Mekah yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, juga mempersoalkan bagaimana pemimpin yang gagal kendalikan parti yang kecil mampu kendalikan negara yang besar.

"Takkan nak tunggu ada rusuhan atau kekacauan. Ketika itu sudah tidak boleh dipulihkan lagi. Sekali kekacauan tercetus, susah untuk dipulihkan.

Menurut pengamatan beliau, keadaan ini berlaku kerana pemimpin politik menganggap kedudukan politik itu seperti harta rompakan.

"Mereka bermati-matian untuk mendapatkannya sekalipun terpaksa menggunakan belanja yang besar kerana pulangan atau keuntungannya juga besar," kata beliau.

Jelas beliau, saluran politik digunakan untuk membina kekayaan diri. Inilah hasilnya bila kerakusan ini berlarutan. Tidak ada setiakawan dalam politik, musuh memusuhi, berpuak-puak kerana fikirkan survival politik masing-masing bukan survival rakyat yang dipertanggungjawabkan.

Yang paling ketara sekarang, pemimpin politik bukan sahaja gagal membawa rakyat keluar dari kemelut yang sedang dihadapi malah menjadikan keadaan lebih rumit.

"Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah tapi mereka pula yang menimbulkan lebih banyak masalah lain," kata Dr Asri.

Sementara itu, dalam isu yang berkaitan dilaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai anggota Kabinet

Perkara tersebut disahkan oleh pegawai khas beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

"Ya, perkara itu betul (letak jawatan). Surat letak jawatan juga telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini," katanya.

Keputusan itu dibuat sehari selepas beliau memberikan pandangan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Kata beliau, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Sehubungan itu jelas Zaid, beliau sedia untuk meletak jawatan kerana memberikan pandangan yang dilihat bertentangan dengan 'dasar kerajaan' itu.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas soal perundangan dan kehakiman itu berkata, beliau bukan sebagai pencetus masalah kepada Perdana Menteri, sebaliknya hanya mempertahankan prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA.

Zaid merupakan peguam terkenal yang menyertai arena politik kemudian dan kini merupakan anggota Umno. Beliau menyertai Umno tahun 2000.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004 hingga 2008.

Pada pilihan raya umum Mac lalu beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi kemudian menyertai jemaah menteri selaku senator. - mns/mks._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.