Rabu, 17 September 2008

Hashim: Mahkamah kembali hak pada yang sepatutnya...
Jimadie Shah Othman


Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin menyifatkan keputusan mahkamah semalam yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang pilihanraya bagi Dewan Undangan Negeri Sanglang, sebagai satu “tindakan yang tulus” dan “telah mengembalikan hak kepada yang sepatutnya”.

“Saya lega keputusan memihak kepada kita,” kata Hashim ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau juga berkata, keputusan tersebut pada mulanya tidak dapat dijangka.

“Pada peringkat awalnya, 50-50 juga. Kita bimbang mahkamah tidak berlaku tulus,” katanya.

Hashim diisytiharkan memenangi kerusi itu buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya semalam.

Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan Hashim memenangi kerusi tersebut dan membatalkan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu.

Panel hakim itu juga memutuskan bahawa pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

Ucap tahniah

Beliau juga menyifatkan kembalinya DUN Sanglang ke tangan PAS itu, sebagai kemenangan Islam.

Keputusan itu juga, tambahnya, turut disambut baik pelbagai golongan masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam.

Katanya, beliau turut mendapat panggilan telefon dari penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Di samping itu, katanya, beliau juga ada menerima panggilan telefon dari seorang exco kerajaan negeri Perlis dari Umno, yang turut mengucap tahniah kepadanya.

Ditanya mengenai persidangan DUN yang akan datang, Hashim berkata, sebagai pembangkang negeri, PAS mungkin mengambil pendekatan berbeza kali ini.

“Pihak pemerintah kali ini pun nampak lebih lembut dan terbuka berbanding dulu,” katanya.

“Kalau dulu, masa (Datuk Seri) Shahidan Kassim (menjadi menteri besar), kita hendak pergi hospital bagi hamper raya pun tidak boleh,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang mewakilinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.