Jumaat, 26 September 2008

Dapatkah Abdullah tekan MT ikut kehendaknya?
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Dapatkah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memaksakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini tunduk kepada apa yang dilaporkan sebagai kehendaknya supaya perhimpunan agung Umno (PAU) dan pemilihan Umno ditangguhkan hingga ke tahun hadapan?

Berdasarkan laporan , semua cara dirancang akan digunakan supaya kehendak Abdullah itu menjadi kenyataan.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad melaporkan dalam blognya, kuda-kepang.blogspot.com, cadangan Abdullah untuk menangguhkan mesyuarat agung perwakilan Bahagian dan PAU ke tahun hadapan malah dibangkang dan ditentang oleh timbalannya sendiri yang dilihat dan sentiasa dilaporkan begitu setia.

Menurut sumber Seri Perdana, Abdullah telah memanggil Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi kelmarin untuk membincangkan isu-isu parti.

Dalam pertemuan tersebut, Presiden Umno itu telah mencadangkan supaya Mesyuarat Bahagian dan PAU ditangguhkan ke bulan April dan Jun 2009. Namun cadangan tersebut telah ditolak oleh Najib.

Bagaimanapun Abdullah berkeras mahukan Majlis Tertinggi meluluskan kehendaknya itu dalam mesyuarat hari ini.

Ruhanie memetik laporan dalam laman web penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz, mykmu.net

Cadangan menyusahkan ahli

Menurut laporan itu, Najib antara lain menyatakan adalah tidak wajar menangguhkan lagi mesyuarat kali ini kerana semua persediaan telah dibuat. Penangguhan yang dikehendaki Abdullah itu hanya akan menyusahkan ahli dan para pemimpin di peringkat bahagian.

Selain soal persediaan, Abdullah juga diingatkan bahawa banyak isu-isu teknikal dan hati serta perasaan ahli Umno perlu diambil kira.

Antara lain, menurut laporan itu, ialah soal umur mereka yang layak bertanding untuk jawatan dalam Pemuda dan Puteri. Sebahagian calon tidak akan dapat bertanding kerana mereka lebih had umur pada tahun hadapan. Ini akan menimbulkan pelbagai isu teknikal termasuk sama ada sah atau tidak mesyuarat cawangan yang baru lalu.

Najib juga dilaporkan telah membangkitkan isu kempen pemilihan yang sedeang berlangsung di bahagian-bahagian ketika ini. Jika ditangguhkan, calon-calon yang bertanding akan menghadapi masalah untuk mengekalkan momentum.

Tempoh kempen yang terlalu panjang akibat penangguhan yang dikehendaki Abdullah itu juga akan menyebabkan suasana politik dalaman Umno akan terus bergolak untuk masa yang lebih panjang berbanding jika persidangan agung berlangsung dihabiskan tahun ini.

Perkara tersebut akan menambahkan politiking dalaman parti dan menyebabkan kepimpinan dan parti hilang fokus untuk menghadapi cabaran ekonomi negara pada tahun hadapan.

Meninggikan suara

Bagaimanapun, laporan itu menyatakian "Abdullah seperti biasa lebih mementingkan nasihat anak menantu dan para pegawainya tetap dengan pendirian tersebut".

Untuk mesyuarat hari ini, beberapa ahli MT dilaporkan telah diberi tanggungjawab oleh Abdullah dan Setiausaha Politiknya, Datuk Md Alwi Che Ahmad, untuk berkeras menyokong kehendak Abdullah itu.

Jika Najib atau Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju, laporan itu menyatakan, kumpulan ini akan meninggikan suara dan memainkan isu seperti Najib tidak tahu berterima kasih dan tidak sabar-sabar hendak menjadi Perdana Menteri._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.