Isnin, 22 September 2008

Bertikam keris sesama Umno
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Walaupun para penyokong menghunus keris untuk mempertahankannya, kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini dilaporkan lemah di dalam dan di luar Umno oleh laman web berita Malaysian Insider(MI).

Para penyokong Abdullah memang mendesak beliau supaya tidak mempedulikan kata-kata yang memedihkan dari Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda Datuk Hishammuddin Hussein, Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) Datuk Mohd Shafie Apdal.

Mereka mendesak Abdullah supaya meneruskan rancangan untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno yang kini disandangnya dan hanya menyerahkan kuasa pada pertengahan 2010 seperti yang ditetapkan dalam pelan peralihankuasa yang dibuat oleh Abdullah sendiri.

Menyifatkan kritikan-kritikan terhadap Abdullah dalam mesyuarat MT Khamis lalu sebagai melampaui batas, para penyokongnya telah menghunus keris (MI menyebut unsheathed their knives) untuk bertindak demi meneruskan kekuasaan Abdullah yang menjadi harapan hidup mereka.

Para penyokong Abdullah itu, yang terdiri beberapa ahli MT dan kakitangan politiknya, kini berkerja keras demi mempertahankan jawatan Abdullah yang menjadi tempat pergantungan nasib mereka.

Meskipun demikian, bukan mudah bagi mereka untuk meredakan hingar-bingar di kalangan ahli-ahli Umno yang menuntut pengunduran Abdullah.

Abdullah tidak ada pilihan, beliau dipaksa dan terpaksa menyatakan keputusan muktamadnya - berundur segera atau menangguhkan pengunduran dan berhadapan dengan kemungkinan tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya.

Amaran Rafidah di dalam mesyuarat tersebut bahawa Presiden Umno itu mungkin tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi tidak boleh dipandang ringan.

Semakin jelas, pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Abdullah mungkin akan menjadi punca perang saudara di dalam Umno.

Kata-kata pedas Muhyiddin dan amaran keras Rafidah yang bercakap dengan begitu terus terang tidak boleh dipandang sebagai paluan tin kosong semata-mata.

Adalah terlalu bodoh jika Abdullah tidak melihat kata-kata pedas dan amaran keras tersebut sebagai tanda-tanda akan meletusnya perang saudara di dalam Umno jika beliau tersilap langkah.

The Straits Times Singapura (ST) melaporkan, rakan rapatnya sendiri mengakui bahawa Abdullah tidak mempunyai banyak pilihan lagi malah semakin sedikit.

"Beliau mempunyai hanya tiga minggu untuk menentukan sama ada beliau akan terus berpegang kepada pelan persaraannya atau mengisytiharkan untuk berundur lebih awal," ST memetik rakan rapat Abdullah yang enggan namanya disiarkan itu.

Walaupun dilaporkan membantu meredakan serangan-serangan terhadap Abdullah dalam mesyuarat MT Khamis lalu, timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak awal-awal lagi dilihat menyatakan keengganannya untuk mematuhi pelan peralihan kuasa yang ditetapkan oleh Abdullah.

"Kerana Umno yang merupakan parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, perkara ini (peralihan kuasa) hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti, iaitu melalui mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian," katanya baru-baru ini.

Sedangkan, parti pula, seperti yang diingatkan oleh Rafidah dalam mesyuarat MT itu, mungkin akan menafikan Abdullah pencalonan yang mencukupi bagi membolehkan Abdullah mempertahankan jawatannya.

Jika para penyokong Abdullah yang bergantung nasib kepada jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya telah mula menghunus keris seperti yang digambarkan MI, bagaimana pula dengan yang lain?

Tidakkah mereka juga mengasah dan menghunus keris? Sejarah membuktikan, "bertikam keris" sesama Umno bukan perkara luar biasa._

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.