Ahad, 14 September 2008

Ada Hikmahnya Muhyiddin Letak Jawatan
A Kadir Jasin


MUNGKIN benar kata Senator Zaid Ibrahim. Muhyiddin Mohd Yassin wajar meletakkan jawatan kabinet kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Hari ini, Mingguan Malaysia (yang saya baca online) melaporkan yang Ketua Penerangan UMNO Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Kok Lanas, Mohd. Alwi Che Ahmad juga sependapat dengan Zaid.

Saya melihat kenyataan Mohd Alwi sebagai lebih berwibawa berbanding Senator Zaid kerana Mohd Alwi dipilih rakyat dan ada jawatan dalam Umno.

Zaid tidak ada jawatan dalam Umno sejak dipecat pada tahun 2004 atas tuduhan politik wang (kemudian dibebaskan), tidak bertanding pilihan raya dan menjadi menteri atas pilihan Abdullah seorang sahaja.

Ada orang bertanya kepada saya di mana Zaid ketika pilihan raya umum 8 Mac lalu. Saya kata, saya tidak tahu. Berkempen di Kota Barulah agaknya.

Tapi adalah wajar Zaid sebagai orang yang terhutang budi kepada Abdullah menjadi pendekar pertama turun gelanggang bersilat pencak mempertahankan panglimanya daripada serangan Muhyiddin.

Lagipun pendekar-pendekar Umno seperti Nazri Abdul Aziz dan Shahrir Abdul Samad nampaknya tidak selantang dulu lagi. Atau boleh jadi juga media massa arus perdana tidak lagi memberi keutamaan kepada mereka.

Ular tedung tidak hilang bisanya kalau menyusur akar. Tetapi ular air, ular daun dan ular tikus, panjatlah pokok paling tinggi sekalipun tetap tidak ada bisa.

Kalau Abdullah tidak mahu meletakkan jawatan walaupun digesa dan diminta mungkin Muhyiddin memulakan lambaran baru dalam Umno yang kian tenat sekarang dengan meletakkan jawatan kabinet.

Saya yakin, khasnya dalam suasana sekarang di mana para pembesar Umno penakut tetapi gila kuasa, Muhyiddin, sebagai Naib Presiden kanan Umno, akan lebih dihormati jika meletakkan jawatan kabinet dan menumpukan sepenuh masa kepada kerja-kerja parti.

Lagipun, Muhyiddin telah berkata dia bersedia menerima apa saja kemungkinan berikutan kenyataannya di Singapura baru-baru ini yang tempoh peralihan kuasa 2010 terlalu lambat.

Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pengkal lengan. Kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya. Kita sudah pun nampak kesan tindakan Muhyiddin itu.

Selepas dia membuat pendirian mengenai tempoh peralihan kuasa itu, Mohd Najib Abdul Razak yang setia itu pun nampaknya sudah mula mengubah rentak tarinya.

Tiba-tiba Timbalan Perdana Menteri itu berkata rancangan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada beliau perlu ditentukan oleh ahli di Perhimpunan Agung Disember ini. Tiba-tiba kuasa dan hasrat ahli menjadi penting.

Ini tidak lain tidak bukan kerana Mohd Najib sudah berasa tercabar. Dia bimbang keberanian dan kesediaan Muhyiddin menerima padah melawan arus akan mengancam harapannya sendiri untuk menerima jawatan Perdana Menteri dalam dulang emas daripada Abdullah.

Muhyiddin, sebagai bekas pengurus ekonomi dan perniagaan, tentu lebih daripada sedar bahaya dan ancaman ketidaktentuan ekonomi negara yang sedang berlaku sekarang.

Kalau kepemimpinan Umno dan negara tidak dikemaskinikan, usahkan Umno dan orang Melayu, malah seluruh negara dan rakyat jelata akan diancam kemelesetan ekonomi dan huru-hara sosial.

Apa guna Muhyiddin atau sesiapa juga menjadi menteri kalau Umno nazak dan masa depan negara diancam ketidaktentuan.

Nota kaki: Saya kerinduan hendak mendengar buah fikiran Senator Zaid Ibrahim sebagai menteri de facto undang-undang dan seorang yang mengisytiharkan dirinya Melayu liberal, mengenai langkah menahan blogger dan ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kalau saya belum nyanyuk, saya rasa Senator Zaid pernah mencadangkan agar ISA dihapuskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.