Jumaat, 1 Ogos 2008

Umno putus talian hayat selepas PAS tolak kerjasama

Ibrahim Othman

Bukan main gembira sebenarnya di kalangan mereka di dalam Umno, apabila Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS, sebanyak tiga kali.

Masing-masing, berebut-rebut mahu mengaku, merekalah yang terawal melibatkan diri, untuk mencari jalan bermuzakarah yang kemudiannya dikenali sebagai Muqabalah, khususnya bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Dalam masa yang sama, boleh dikatakan sebahagian besar anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, berebut-rebut membuat kenyataan, bahawa ia sesuatu yang baik untuk perpaduan Melayu dan Islam, malahan, ada yang lebih pantas, mahukan Umno dan PAS bekerjasama.

Sebuah akhbar pro kerajaan, siang-siang sudah memainkan peranannya mengambarkan berlaku perpecahan di kalangan pemimpin-pemimpin PAS dalam soal ini, seolah-olah, ia sesuatu yang menguntungkan Umno - apabila ada pemimpin PAS bertelagah dan tidak sependapat.

Namun, nyata Presiden dan Mursyidul Am PAS, bertindak matang. Mereka sekata dalam hal ini, malahan Dato' Nik Aziz Nik Mat yang juga MB Kelantan mencadangkan supaya PAS dan Umno dibubarkan, untuk mencari satu perpaduan yang lebih kukuh - atas prinsip Islam.

Malangnya, apabila PAS mengumumkan menolak hasrat Umno untuk bekerjasama dan dalam masa yang sama, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dipetik sebagai berkata di Alor Star, bekas MB Perak, Dato' Seri Mohamad Tajol Rosli tidak seharusnya membuat tawaran secara terlalu pantas yang tidak merujuk kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam juga sebelum itu berkata, sepatutnya perkara ini dibawa ke MT dahulu untuk membuat keputusan dan tidak wajar bagi Tajol Rosli mendahului kepimpinan.

Satu ketika lain, Muhammad dilihat seperti bersetuju dengan langkah yang diambil Tajol Rosli tetapi dalam satu masa yang lain, dia seperti mahu ‘ menasihatkan Tajol Rosli ‘ pula.

Kasihan Umno...angan-angan untuk menubuhkan semula kerajaan negeri di Perak, nyata meleset.

Malahan, MB Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin pula mempelawa Tajol Rosli menyertai PAS manakala Mohamad Sabu turut berbuat demikian dengan mempelawa Tajol dan Khir Toyo menyertai PAS.

Ketika Umno dalam suasana begini, buat apa pun tidak menjadi, beberapa pemimpin Umno sibuk berangan-angan mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM), sebaik sahaja Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi PM, ekoran pelan peralihan kuasa, Jun 2010.

Yang pasti, mereka yang kepingin kerusi TPM pada Jun 2010, sedang 'mengasap keris' untuk menikam Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang dikatakan bakal menjadi regu Najib dalam pelan peralihan kuasa tersebut.

Jika mereka berjaya 'membunuh' Muhyiddin dari memenangi kerusi Naib Presiden Umno, pada pemilihan Disember nanti, peluang yang lain-lain untuk menjadi TPM amatlah cerah.

Jika boleh, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu ke hadapan, meninggalkan yang lain-lain kerana dia adalah saudara sepupu sebelah ibu kepada Najib.

Lagipun dia adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan kini penyandang jawatan Menteri Pelajaran, seolah-olah satu tiket untuk sampai ke kerusi TPM, seperti laluan Najib.

Maka, kebetulan Hishammuddin datangnya dari Johor dan Muhyiddin juga dari Johor. Seperti menjadi satu ‘ sumpah ‘ pula, dari banyak-banyak calon, mengapa harus calon-calon dari Johor sahaja mahu dimenangkan?

Apakah tidak ada calon berpotensi dari Melaka, Negeri Sembilan, Perak atau negeri-negeri lain termasuk Perlis dan Sabah?

Oleh yang demikian, kesemua mereka yang kepingin mahu menjadi TPM menjelang Jun 2010 ini tidak mahu memikirkan soal muzakarah ataupun muqabalah.

Mereka sibuk melobi, untuk mendapatkan quota percalonan, bagi melayakkan mereka bertanding.

Bagi mereka, apabila PAS menolak hasrat mengadakan kerjasama, mereka tidak menganggap kegagalan itu sebagai kegagalan mereka sebaliknya ia merupakan kegagalan Perdana Menteri.

Disebabkan PM asyik gagal dan terus gagal, eloklah pelan peralihan kuasa tidak diteruskan seperti yang dirancang, sebaliknya dipercepatkan.

Ramai yang melihat sekarang, survival Umno sebenarnya bergantung kepada PAS. Jika PAS masih terus enggan ‘bersama-sama Umno’ , semakin dekatlah ajal parti Melayu yang sudah memerintah lebih 50 tahun ini.

Walaupun Najib mempunyai keyakinan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno, tetapi dengan pelbagai ranjau dan duri yang dihadapinya, ramai yang menjangkakan hayat Umno lebih cepat habis di tangan Najib. - mr_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.