Jumaat, 22 Ogos 2008

UiTM dan Permatang Pauh uji kematangan politik
A Kadir Jasin


RAMAI pembahas yang meminta pendapat saya mengenai isu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pilihan raya kecil (PRC) Parlimen Permatang Pauh.

Pandangan saya lebih kurang begini. Saya setuju orang Melayu dan bumiputera menuntut dan mempertahankan hak mereka dan saya tidak menentang orang bukan bumiputera menuntut dan mempertahankan hak mereka.

Cadangan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim agar UiTM membuka pintu kepada lebih ramai pelajar bukan bumiputera adalah contoh kecil proses tuntutan dan pertahanan hak ini. Ia tidak sepatutnya membuatkan kita terlalu emosional.

Tidak kira apa yang dituntut dan dipertahankan oleh kaum-kaum di Malaysia, ia wajiblah berasaskan Perlembagaan, undang-undang dan konvensyen yang telah dipersetujui lebih setengah abad lalu.

Biar semarah atau sehangat mana sekali pun perasaan kita, kita wajib mengakui bahawa Malaysia adalah antara sebilangan yang amat kecil negara berbilang kaum dan agama yang masih kekal dan selamat.

Negara pelbagai kaum dan agama seperti Yugoslavia dan beberapa buah negara Caucasia sama ada telah hilang dari peta dunia atau sedang dilanda pertumpahan darah seperti India, Sri Lanka, Kenya dan Filipina.

Hatta negara-negara satu agama seperti Iraq, Iran, Afghanistan, Pakistan dan Turki pun terus dilanda keganasan dan kacau bilau.

Janganlah kita mengambil kesempatan daripada persekitaran politik yang kononnya lebih terbuka kini atau daripada tanggapan bahawa kerajaan sekarang lemah dan kucar-kacir untuk membuat tuntutan yang melampau, khasnya yang berbau perkauman.

Kita boleh merayakan demokrasi. Kita boleh berpesta dengan kebebasan dan keterbukaan. Tetapi kita hendaklah jangan lupa kepada segala bentuk sensitiviti yang berkaitan dengan masyarakat majmuk kita.

Sebagai seorang yang lahir sebelum merdeka (yang tali pusatnya dipotong dengan sembilu oleh bidan kampung) dan mendapat pendidikan pada tahun-tahun peralihan daripada bahasa perantaraan Inggeris kepada bahasa Melayu, pandangan saya banyak dipengaruhi oleh pengalaman dan persekitaran waktu itu.

Kampung saya kampung majoriti Melayu. Penduduknya bercucuk tanam. Tanaman utama sampai hari ini ialah padi. Tetapi perniagaan dari awal-awal lagi dimonopoli oleh orang Cina.

Pergaulan mereka begitu mesra sehingga orang Melayu tidak berasa apa-apa membenarkan babi jiran Cina mereka berkeliaran. Allahyarhamah nenek saya memberikan keladi dan daun ubi kayu kepada jiran Cinanya sebagai makanan babi. Sebagai ganti dia mendapat kopi, gula dan tembakau.

Pengayuh basikal yang diupah oleh ayah saya untuk menghantar dan mengambil saya balik dari Sekolah Melayu Pendang, kira-kira lima kilometer dari rumah saya, adalah seorang bujang Cina bernama Ah Hin.

(Dia kemudian masuk Islam dan berkahwin dengan seorang perempuan Melayu. Tetapi khabarnya setelah bercerai dengan isterinya, dia kembali kepada amalan asalnya tanpa sesiapa pun buat ribut.)

Selepas lima tahun di sekolah Melayu, saya masuk Special Malay Class (Kelas Khas Melayu) di Saint Michael Primary School di Alor Star pada tahun 1959. Dari saat itu mulalah saya bergaul dengan budak-budak Cina, India dan Thai.

Oleh kerana Saint Michael adalah sekolah mubaligh Kristian mazhab Roman Katolik, bapa saudara saya seorang tok guru pondok di Pendang memprotes kepada ayah saya. Dia amat yakin sekiranya saya tidak dikeluarkan daripada sekolah itu saya akan jadi kafir.

Ayah saya tidak mempedulikan protes itu. Sebaliknya di Saint Michaellah saya belajar agama Islam dan sewaktu sekolah menengah menyertai kawan-kawan Muslim yang lain menubuhkan Persatuan Pelajar-Pelajar Islam.

Kami mewajibkan pelajar Islam tingkatan tiga ke atas berbaris ke Masjid Zahir pada setiap Jumaat lengkap dengan pakaian baju Melayu warna sekolah.

Tidak menyertai perbarisan ke masjid tiga kali berturut-turut tanpa alasan dikenakan tindakan disiplin oleh sekolah. Guru besar kami namanya Charles Alexander Westwood (yang kami pinda kepada Salleh Iskandar Kayubarat ketika Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1965) dan ketua agama (Brother Superviser) bernama Brother Brendan.

Persekitaran pelbagai kaum dan agama berterusan sehinggalah saya ke Maktab Sultan Abdul Hamid dan kemudian di Bernama dan New Straits Times Berhad.

Namun dari dahulu sehingga sekarang saya berpegang kepada falsafah bahawa Malaysia, sebagai negara berbilang kaum dan agama, tidak akan selamat dan makmur sekiranya kekangan ekonomi antara kaum dan di kalangan kaum yang sama, dibiarkan berlarutan atas nama ekonomi bebas, globalisasi, persaingan, meritokrasi dan keterbukaan.

Peminggiran kaum majoriti akan mengundang ketidakstabilan dan peminggiran kaum minoriti akan mencacat prinsip keadilan dan kesamarataan.

Dalam konteks semasa, kaum majoriti semakin jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi manakala kemiskinan berlaku dalam semua kaum.

Justeru, manakala Khalid Ibrahim boleh mencadangkan agar UiTM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain membuka pintu lebih luas kepada pelajar bukan Bumiputera, dia juga wajib memastikan yang kuota atau bilangan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditingkatkan.

Saya yakin UiTM dan pelajarnya akan lebih cergas, cerdas dan berdaya saing jika berlaku interaksi dan percambahan pemikiran yang melepasi garis dan sempadan kaum.

Mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh pula, saya terus berpegang kepada pendapat bahawa ketua de facto pembangkang, Anwar Ibrahim akan kembali mewakili kawasan itu selepas 26 Ogos ini.

Namun ciri-ciri berikut mungkin berlaku:

1. Kelebihan undi Anwar mungkin lebih kecil daripada yang diperoleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 8 Mac lalu;

2. Adalah kebiasaan bagi Barisan Nasional memenangi pilihan raya kecil dengan kelebihan undi yang lebih besar. Dalam beberapa pilihan raya kecil, BN berjaya merampas balik kerusi daripada parti lawan;

3. Penyokong setia Anwar akan tetap mengundi beliau biar apa sekalipun dakwaan, tuduhan dan hukuman ke atas beliau;

4. Ramai akan mengundi beliau kerana percaya beliau adalah mangsa konspirasi tidak kira bahawa penuduh beliau sudah bersumpah dengan nama Allah mengatakan dia telah diliwat oleh Anwar;

5. Pasti ada sebahagian pemilih yang akan mengundi Anwar kerana mereka benci kepada BN, khasnya kepemimpinan Umno yang ada sekarang;

6. Pasti ada yang akan merosakkan undi atau tidak keluar mengundi sebagai tanda protes terhadap kepemimpinan BN dan Umno;

7. BN dan Pakatan Rakyat pasti menggunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada pada mereka untuk saling jatuh menjatuhkan;

8. Permatang Pauh akan menjadi medan perjuangan menentukan hala tuju politik negara dan masa depan watak-watak utama seperti Anwar, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak;

9. Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh akan menguji kewibawaan dan penerimaan ke atas pasangan setia Abdullah-Mohd Najib dalam proses pemilihan kepemimpinan Umno yang sedang berlangsung sekarang; dan

10. Ia akan menjadi pentas untuk menguji keakraban dan iltizam pendukung Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan BN biar apa sekalipun yang akan terjadi kepada Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.